[SALAM PERKENALAN PENA]


Monday 19 September 2011

SyuKuR DaN SaBaR

Mudah sahaja nukilan malam ini, penulis memilih dua terma yang cukup berkait walaupun mempunyai pengertian yang cukup berbeza. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sebenarnya dihadapkan dengan pelbagai situasi yang akhirnya menyebabkan diri ini memilih sama ada untuk bersyukur atau bersabar. Namun ramai antara kita yang lupa dan juga alpa tentang hikmah disebalik sesuatu perkara yang berlaku. Normal bagi manusia seperti kita merasakan keadaan gembira, suka, senang hati, bahagia, dan ceria yang sebenarnya adalah disebabkan sesuatu peristiwa yang berlaku disebalik perjalanan kisah hidup kita. Apa yang pasti adalah peristiwa tersebut berlaku adalah bertepatan dengan kehendak diri kita. Ya, saya katakan kehendak diri kita BUKANNYA keperluan diri ini. Tiba-tiba hati terus teringat akan kisah sejarah Islam yang menyatakan cara terbaik untuk bersyukur dan bersabar ialah dengan berpuasa secara berselang-seli juga dikenali sebagai (Puasa Nabi Daud a.s) Menariknya berkenaan puasa ini adalah dapat mengajar diri supaya sehari merasa bersyukur atas kurnian dan nikmat Allah dan sehari merasa bersabar dengan ujian dan dugaan Allah.

“Kita sering kali bersyukur jika mendapat sesuatu yang kita hajati, sebaliknya kita bersabar jika sesuatu yang kita pohonkan tidak ditunaikan”

Namun, apa yang pasti ialah sama ada perkara yang kita hajatkan itu memenuhi keperluan kita. Kita bukanlah seorang pengurus kehidupan yang terbaik oleh itu serahkanlah segala urusan kepada-Nya dengan hati yang tekad penuh dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Dia tidak akan mengecewakan kita. Dia Maha memberi apatah lagi menganugerahkan sesuatu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Permulaan yang baik tidak semestinya berakhir juga dengan baik begitu juga dengan pengakhiran yang baik tidak selalunya bermula dengan sesuatu yang cukup sempurna. Teringat pesan seorang sahabat pena, cukup baik perubahan dirinya “from nothing to something”dan diri ini terasa bertuah kerana menjadi sebahagian antara rakannya. Kata dia, 



“Mintaklah apa yang hendak diminta, jangan kau berserah tanpa meminta, kau kata kau ikhlas, InsyAllah makbul permintaan kau” 

Cukup menenangkan hati apa yang telah dinukilkan oleh seorang sahabat yang satu ini walaupun medium nukilannya sekadar “SMS” namun tetap menjadi ingatan buat diri ini.
Dalam hati tertanya juga, apakah yang membuatkan seorang sahabat ini begitu kuat tahap keyakinannya dan tawakalnya terhadap Allah. Andaian luaran penulis terhadap seorang sahabat ini adalah dia pernah menghadapi pelbagai masalah di waktu dahulu semuanya yang berat dan menghimpit jiwa namun dia begitu redha dengan apa yang berlaku walaupun dengan caranya sendiri. Akhirnya kini dia banyak mendapat pelbagai rahmat dan nikmat yang kadang kala menyebabkan diri ini ingin sekali bertukar tempat dengannya. Dahulu diriku yang selalu menasihatinya, kini dia yang menjadi tempat penulis mengadu cerita. Terima kasih sahabat, sesungguhnya diriku tidak mempunyai harta yang bernilai untuk dibalas melainkan suatu patah kata yang tidak sehebat mana iaitu “Kau Sahabatku, Tidak Mungkin Aku Mengkhianati Dirimu.”


Moga apa yang terjadi pada hari ini menjadi ikhtibar buat kita di hari esok. 
Walaupun esok belum pasti sedangkan semalam telah berlalu pergi. Yakinlah betapa jika iman di hati InsyAllah kejayaan sentiasa mengiringi.

No comments: