[SALAM PERKENALAN PENA]


Saturday 22 October 2011

MenGeJaR CiNtA PeMiLik ARaSy


Alhamdulillah, setelah sekian lama penulis mencari, akhirnya bertemu juga penulis dengan sebuah buku karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang berjudul "Al-Farqul Bayaaniy Baina Awliaaus Shaytaan wa Awliaaur Rahmaani", yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu, "Perbezaan Yang Nyata Antara Wali Syaitan dan Wali ar-Rahman". Buku yang didapati penulis pula judulnya di dalam bahasa Indonesia, iaitu "Wali Allah vs Wali Setan".
Bukanlah kelayakan penulis, untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa yang sudah dibawakan oleh Ibnu Taimiyah dengan begitu kemas sekali. Cuma sahaja penulis tertarik dengan syarat yang telah diberikan Allah S.W.T, bagi kita mencapai kasih dan cinta-Nya. Perkataan 'wali' itu sendiri, bermaksud rapat, hampir dan karib. Terdapat sebuah hadis di dalam Sahih Bukhari yang berbunyi, Allah S.W.T berfirman:
"Hamba-Ku adalah dia yang banyak mengerjakan amalan sunat, yang mana dia mengerjakannya sehingga Aku menyintainya. Dan apabila Aku menyintainya, Akulah matanya semasa dia melihat, Akulah telinganya semasa dia mendengar, Akulah tangannya ketika dia memukul. Apabila dia meminta nescaya Aku akan memperkenankannya, apabila dia memohon perlindungannya nescaya Aku akan melindunginya."
Begitulah petikan hadis dari Sahih Bukhari, dan hadis ini menurut Ibnu Taimiyah adalah hadis yang paling sahih yang membicarakan berkenaan wali Allah. Hadis ini selari dengan sabda Nabi S.A.W:
"Takutilah kamu pandangan orang yang beriman, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah S.W.T."
Kebolehan dan perkara-perkara ajaib yang pernah terjadi kepada para wali Allah S.W.T, yang kita dapati di dalam hadis-hadis yang sahih, merupakan perkara yang benar-benar berlaku. Cuma sahaja perbahasan mengenai keramat para wali ini, tidaklah penulis akan bawakan di sini bahkan pada masa akan datang insya-Allah.
Pada kali ini, penulis ingin menekankan amalan-amalan sunat yang sunnah, yang mana penulis memandang penting dan sangat baik untuk kita amalkan dalam mengejar cinta Allah S.W.T. Andaikata kita membaca tentang ibadah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, secara pasti akan terasa insaf di hati, kerana sempurna dan kualitinya amalan mereka, tanpa mengenal erti penat dan jemu, jauh sekali jika dibandingkan dengan amalan kita yang ingat-ingat lupa ini.
Oleh itu marilah kita mengejar cinta Allah S.W.T, dengan mengerjakan amal-amal sunat yang sunnah, moga kita beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat, dikasihi Allah S.W.T, dilindungi dan dikabulkan segala permintaan kita.
Di antara amalan sunat yang sunnah ialah:-
1) Mengerjakan solat sunat selepas dan sebelum solat lima waktu
i) Solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, yang mana merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah S.A.W. Diriwayatkan bahawa jikalau Baginda S.A.W bermusafir, maka solat-solat sunat yang lain akan ditinggalkan, akan tetapi baginda S.A.W akan tetap dengan solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.
ii) Solat sunat dua rakaat sebelum Zohor, dan solat sunat dua rakaat selepasnya.
iii) Solat sunat dua rakaat sebelum Asar.
iv) Solat sunat dua rakaat selepas Maghrib.
v) Solat sunat dua rakaat sebelum dan selepasnya Isyak.
Perhatikan bahawa penulis tidak menulis solat sunat selepas solat Subuh, selepas solat Asar dan sebelum Maghrib. Ini kerana dua waktu di dalam sehari, iaitu dari waktu setelah terdirinya solat Subuh hingga sampai waktu Dhuha, dan juga waktu setelah terdirinya solat Asar hinggalah ke waktu Maghrib, ini dinamakan waktu tahrim, iaitu haram solat ketika ini. Kerana itu amalan solat sunat dua rakaat setelah Subuh, setelah Asar dan sebelum Maghrib bukan amalan sunat yang sunnah dari Rasullullah S.A.W.
2) Solat sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha juga merupakan amalan baginda S.A.W. Aisyah r.a berkata:
"Baginda S.A.W solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah tinggalkan Dhuha".
Dan juga di dalam hadis lain:
"Baginda S.A.W tidak solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah solat Dhuha".
Maksud dari hadis yang zahirnya kelihatan bercanggah ini, ialah Rasulullah S.A.W ada bersolat Dhuha dan tidak pernah meninggalkannya, sehingga nampak di mata manusia Baginda S.A.W tidak pernah meninggalkan Dhuha.
Dan ada juga masanya Baginda S.A.W meninggalkan Dhuha sehingga kelihatan seperti Baginda S.A.W tidak pernah bersolat Dhuha. Hal ini bagi menunjukkan bagi kita bahawa solat Dhuha kekal solat sunat, dan bagi yang mampu mengerjakannya, kerjakanlah dan ianya tidak berdosa jika ditinggalkan.
Ianya juga dari tabiat Rasulullah S.A.W untuk mengerjakan amalan sunat, dan adakalanya Baginda S.A.W meninggalkannya, kerana dari sifat Baginda S.A.W bahawa Baginda S.A.W khuatir andaikata Baginda S.A.W mengerjakannya setiap hari tanpa langsung meninggalkannya, maka Allah S.W.T akan mewajibkan solat Dhuha kepada kita, yang mana kita tidak akan mampu untuk mengerjakannya secara wajib setiap hari.
Kepada para sahabat Baginda S.A.W menyarankan solat Dhuha, sebagaimana di dalam hadis Abu Hurairah ra, katanya kepada Rasulullah S.A.W:
"Ya Rasulullah, nasihatilah aku". Maka jawab Baginda S.A.W, "Ya Abu Hurairah, berpuasalah kamu, walaupun hanya tiga hari, tetap saban bulan. Kerjakanlah solat Dhuha, walaupun dua rakaat tetapi saban hari, dan kerjakanlah solat witir, walau satu rakaat tetapi saban malam".
3) Berpuasa Isnin dan Khamis setiap minggu, dan jika tidak mampu, tiga hari setiap bulan
Ini sebagaimana yang disarankan di dalam hadis di atas. Sungguh berpuasa Isnin dan Khamis merupakan puasa yang sesuai dengan kudrat kita, dan sungguh tidaklah umat ini mampu untuk berpuasa lebih dari itu.
Di dalam hadis Sahih Bukhari, menceritakan kepada kita Amru ibnu Al-'As, ketika beliau meminta dari Rasulullah S.A.W mengamalkan yang baik untuk dilakukan, Baginda S.A.W menyarankan agar beliau berpuasa Isnin dan Khamis. Dan beliau berkata:
"Sungguh aku mampu untuk berbuat lebih dari itu."
Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Berpuasalah kamu sebagaimana puasanya Daud a.s, iaitu kamu berpuasa sehari, dan berbuka sehari (iaitu selang sehari)."
Kata Amru r.a:
"Sungguh aku lebih mampu dari itu."
Maka kata Rasulullah S.A.W:
"Engkau tidak (mampu)."
Kemudian setelah Amru r.a mengamalkan puasanya Daud a.s, sebagaimana yang dimintanya dari Rasulullah S.A.W, katanya:
"Kemudian aku berhenti (dari puasa itu), kerana benar kata Rasulullah S.A.W, aku tidak mampu."
Ini selari dengan hadis Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah berpuasa penuh sebulan, melainkan di bulan Ramadhan. Adapun puasa Baginda S.A.W di bulan Syaaban, bukanlah puasa penuh, tetapi puasa majoriti hari-hari di dalam Syaaban.
Kerana itulah kata penulis, puasa Isnin Khamis adalah yang tercantik dan sesuai dengan kekuatan insaniah kita.
4) Solat Witir
Hakikatnya witir bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadhan, bahkan witir boleh dilakukan setiap malam, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis di atas. Dan juga witir itu tidak semestinya tiga rakaat, bahkan satu rakaat sahaja sudah mencukupi dan diterima. Insya-Allah.
5) Solat Tahajjud
Solat yang sangat dianjurkan Rasulullah S.A.W. Sabda Baginda S.A.W:
"Solat yang paling afdal (baik) setelah solat lima waktu ialah solat malam".
Ini kerana sabda Rasulullah S.A.W di dalam Sahih Muslim:
"Di setiap sepertiga malam, Allah S.W.T turun dari 'Arasy-Nya yang agung, ke langit dunia (langit pertama) seraya berfirman kepada para Malaikat:
"Adakah lagi di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Adakah lagi di antara mereka yang memohon sesuatu?" Nescaya Allah S.W.T akan mengampunkannya dan memakbulkan doanya."
Firman Allah S.W.T mengenai amalan ahli syurga di dunia ini, di dalam surah as-Sajadah:
"Jauh rusuk mereka dari tempat tidur mereka, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan yang takut (akan azab seksa Allah S.W.T di dunia dan di akhirat) dan penuh harapan (agar beroleh syurga kelak, dan beroleh kebaikan dan pahala di dunia)."
Sungguh doa di tengah malam merupakan doa yang mustajab, dan juga menambahkan ketenangan hati dan keyakinan kita kepada Allah S.W.T.
6) Wirid setelah solat lima waktu
Merupakan amalan Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat Baginda S.A.W. Kata Ibnu Abbas r.a:
"Aku melihat mereka (para sahabat) setelah solat meninggikan sedikit suara mereka berzikir".
Perlu diingatkan bahawa adab berzikir menurut yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, ada dua:
i) Tidak meninggikan suara terlalu kuat, atau mendiamkan diri terlalu perlahan.
Terdapat sepotong hadis di mana baginda S.A.W mendapati Abu Bakar dan Umar r.a sedang berzikir, yang mana Abu Bakar cuma mendiamkan diri tanpa sebarang suara. Maka Baginda S.A.W menghampiri Abu Bakar r.a dan bersabda:
"Mengapa engkau diam sahaja?" Jawab Abu Bakar r.a, "Ya Rasulullah, aku zikir dengan diam sahaja kerana bukankah Allah S.W.T tidak pekak?"
Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Tidak Abu Bakar, tinggikan sedikit suaramu."
Dan dihampiri pula Umar r.a, yang sedang terpekik terlolong berzikir, maka sabda Nabi S.A.W:"Mengapa engkau terpekik-pekik?"Jawab Umar r.a, "Ya Rasulullah, bukankah jika kita zikir kuat-kuat, syaitan akan lari?"
Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Perlahankan suaramu."
Ertinya zikir yang sunnah, ialah dengan suara yang sederhana, tidak kuat dan tidak lemah.
Dan dari zikir yang sunnah itu juga, adalah zikir sendirian, bukan secara berjemaah, kerana sebaik-baik amalan adalah amalan para sahabat, dan sahabat tidak pernah berzikir secara berjemaah.
Penulis juga ingin menegur saudara seislam penulis, yang merupakan imam-imam di masjid dan surau. Apabila setelah selesai solat, elok jikalau dicabut terlebih dahulu mikrofon yang digunakan ketika mengimami solat, kerana sungguh zikir dan perkataan kita setelah solat, mengganggu kyusuknya solat jemaah yang masuk masbuk, dan juga jemaah yang sedang mendirikan solat dengan makmum mereka.
Ini bukan perkara yang baik, kerana berzikir itu hukumnya sunat, manakala solat yang didirikan oleh jemaah lain adalah wajib. Maka apabila bertembung sunat dengan wajib, diberatkan dan diutamakan yang wajib terlebih dahulu.
ii) Berzikir tanpa menggugurkan mana-mana huruf yang ada di dalam zikir.
Sebagai contoh, ada masanya penulis mendengar mereka yang pada awal zikir, lengkap mengucapkan 'La ilaaha illallah', kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'illallah, illallah'sahaja.
Kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'hu,hu,hu' sahaja. Ini merupakan amalan yang tidak elok, tidak selari dengan amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, yang lengkap berzikir 'La ilaaha illallah' biar kesekian kalipun, tanpa menambah lajunya berzikir.
7) Doa-doa harian
Doa-doa seperti doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa memakai pakaian, doa melihat ke cermin, doa menaiki kenderaan, doa keluar rumah, doa masuk rumah, doa ketika ke masjid, doa masuk saf solat, bismillah sebelum makan dan doa setelah makan, kesemuanya adalah dari amalan Baginda S.A.W setiap hari.
Sungguh amalan-amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W itusangat banyak. Kita tidak akan mampu untuk beramal sesempurna Baginda S.A.W. Serba-sedikit yang penulis bawakan di sini, merupakan hanya sebahagian dari amalan baginda saw.
Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad saw, dan keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.
Ya Allah, tambahkanlah kecintaan kami kepada sunnah Nabi-Mu Muhammad S.A.W, agar terasa ringan di hati kami untuk mengamalkannya.
Ya Allah, jauhkanlah sunnah Baginda dari sebarang bentuk fitnah, samada dari kata-kata yang keji dan perilaku bidaah, sungguh tipu daya syaitan itu adalah musuh kami yang nyata tetapi halus.
Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Kau berikan nikmat ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.
Amin.
Sumber: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/3840-mengejar-cinta-pemilik-arasy.html

No comments: