[SALAM PERKENALAN PENA]


Tuesday 4 October 2011

SeDeKaH DaLaM TeRaNg

Assalamualaikum buat semua rakan pena yang sudi membaca medan blog kali ini. "Sedekah dalam terang...?" Biar betul Si Pena ni, Tapi sebelum mengupas lebih lanjut Si Pena harapkan semoga semua pembaca blog ceria selalu walaupun diuji degan pelbagai cabaran dan ujian hidup. Erm..macam mengata diri sendiri ni?  Tak apa, pesan guru saya, cara terbaik ingatkan diri sendiri dengan mengingatkan orang lain. Hah ini bukan nak tunjuk bagus ya, tetapi nak berkongsi pengalaman dan juga pengamatan dalam ruangan yang terbatas ini. Teringat juga kata-kata seorang sarjana Islam yang mengatakan jika diri kita ingin dilepaskan daripada masalah dan kesulitan. kita hendaklah menginfakkan (sedekahkan) harta pada jalan Allah. Maka inilah tajuk yang akan diungkai buat sesi ini. Nampak berat tajuk ni, boleh menjadi topik di Al-Kuliyyah, Al-Hidayah mahupun Halaqah TV9 ni. 

Hakikatnya, amalan bersedekah semakin terhakis dalam masyarakat kita, pengalaman yang ingin dikongsikan oleh Si Pena dalam sesi ini ialah peristiwa yang berlaku ketika solat Jumaat di Masjid di Universiti. Jemaah yang datang pun tidaklah secara konsisten ramainya mengikut minggu, Cuba bersangka baik, mungkin mereka terlibat dengan aktiviti lain di luar. Jemaah yang datang semakin memenuhi ruang perkarangan solat apabila waktu hendak menunaikan solat jumaat hampir tiba. Lagi-lagi apabila hampir selesai tamatnya membaca khutbah. Mula la yang duduk di barisan belakang terus ke depan. Bagus..kaedah 'move forward' yang digunakan. Ironinya, ketika sesi khutbah oleh khatib yang bertugas berlangsung, akan berjalan lah tabung bergerak daripada satu jemaah kepada jemaah yang lain. Ada yang menyumbang dan ramai juga yang menolak laju tabung yang terus berjalan itu "non stop" Lagi sekali Si Pena cuba bersangka baik bahawa mereka itu mungkin tidak mahu bersedekah secara terang-terangan takut dianggap tidak ikhlas.

Maka terus teringat akan Si Pena kepada beberapa media yang menyiarkan berita berkenaan amalan bersedekah dalam kalangan orang ternama dan hartawan yang selalu disunting beritanya untuk dipaparkan di dada-dada akhbar dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini mengundang sikap prejudis masyarakat kita dalam menilai perbuatan tersebut. Di sini ingin Si Pena kongsikan buat pembaca blog semuanya, tolong jangan cepat sangat membuat penilaian. Kerana yang berhak menilai itu kan Allah s.w.t, terus kita rujuk maksud firman Allah dalam surah (Al-Baqarah Ayat 271) berkenaan amalan "bersedekah terang" ini. 

Terjemahan Ayat: Jika kamu menzahirkan sedekah(mu) maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah Ayat 271)



Pendapat Si Pena berhubung ayat di atas.
1) Jika seseorang itu "bersedekah terang" iaitu tanpa menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain atau masyarakat umum, juga mendapat pujian Allah iaitu amalan sedekah terang itu juga baik sekali.
2) Seseorang indivdu yang bersedekah secara bersembunyi adalah lebih baik jika sedekah itu ditujukan kepada orang yang fakir.
3) Allah akan menghapuskan sebahagian kesalahan kita dengan amlan bersedekah tidak kiralah sama ada sedekah terang ataupun secara sembunyi.

Jadi mengapa kita masih menimbulkan sikap prejudis terhadap sesetengah orang yang melakukan amalan sedekah terang ini? Mudah sahaja kita untuk menghukum orang yang mungkin benar-benar ikhlas bersedekah terang kerana Allah sebagai seseorang yang tidak ikhlas dan riak, sedangkan pada hakikatnya dia dipuji oleh Allah sebagai orang yang melakukan amalan dengan baik sekali. Siapa kita untuk menilai keperibadian orang lain? sedangkan persoalan ikhlas itu adalah hubungan antara Allah dengan hambanya secara terus dan tidak diketahui oleh para malaikat sekalipun kecuali setelah diberitahu oleh Allah tentang amalan hamba-Nya itu. Kita ini yang sering memandang negatif terhadap orang lain, dengan mudah mengambil keputusan untuk "bersedekah gelap" lawan "sedekah terang" kononnya menunggu saat tiada orang yang melihat barulah kita akan bersedekah terus ketinggalan peluang bersedekah di Hari Jumaat ketika menunaikan Solat Jumaat kerana apabila selesai sahaja doa diakhir solat, maka ramailah yang bertaburan terus meninggalkan masjid dan akhirnya gagal untuk bersedekah sama ada terang mahupun gelap.

Sekian sahaja buat kali ini, moga bersua dalam isu yang berbeza tetapi di arena yang sama. Terpanjang sangat pula coretan kali ini, bukan bertujuan untuk mengkritik tetapi untuk mendidik diri yang sering terlepas pandang pada isu yang dekat dengan diri tetapi semakin jauh dengan hati. Sekadar renungan kita bersama.

No comments: