[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday 26 February 2012

TiNtA TaUBaT PeNgHaPuS DoSa

Assalamualaikum pembuka bicara dalam arena kedua penulisan di bulan Februari 2012 fasa kedua berada di universiti bagi tahun kedua pengajian ini. Selawat dan salam buat rasul junjungan dan syukur yang dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izin dan keampunan dosanya kepada diri ini dapat juga menukilkan warkah buat diri ini yang mengemis TINTA TAUBAT PENGHAPUS DOSA kerana mengenangkan sedikit sahaja taubat yang dilakukan jika pertaruhan dosa dijadikan ukuran. Tinta taubat disajikan buat tatapan pembaca kerana penulis yakin dan percaya betapa manusia itu sering melakukan dosa sama ada sedar atau pun tidak. Lumrah seorang makhluk sentiasa mengikut fitrahnya yang ingin memenuhi setiap kehendaknya. Disebabkan kehendak jugalah manusia sanggup melakukan apa sahaja dengan mencapai matlamatnya walaupun terpaksa menggadaikan kehidupan dan kebahagiaan dirinya sendiri. 




Tinta taubat dapat dilakukan dengan mudah tanpa kita sedari dan merasakan diri kita terpaksa melakukannya. Hal ini disebabakan hakikat segala perkara memerlukan si pelakunya faham apa yang dilakukan. Masalah kini terjadi apabila orang yang melakukan sesuatu perbuatan adalah kerana tidak memahami pengertian sesuatu perbuatan itu dilakukan. Mengambil contoh SOLAT yang kita lakukan seharian adakah memberi impak yang besar dalam kehidupan dan peribadi kita. Ya, semua antara kita ingat pada firman Allah yang menyatakan sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Namun menjadi persoalan sejauh mana perkara ini berlaku. Seolah - olah terdapat percanggahan antara firman Allah dengan realiti kehidupan yang berlaku kini. Kita sedar dengan hakikat bahawa seseorang yang menunaikan solat pun tidak mengawal perilakunya malah mungkin mempunyai peribadi yang lebih teruk daripada seseorang yang tidak melakukan ibadah Solat. 

Disinilah titik pertemuan dan persoalan dijawab dengan penjelasan yang mudah dan ringkas. Betapa pada hari ini kita menunaikan solat tetapi tidak menghayati maksud disebalik solat itu. Tidak cukup hanya melakukan solat tetapi tidak menjaga waktunya. Tidak cukup menunaikan solat tetapi tidak faham maksud yang dibacanya. Tidak cukup juga menunaikan solat sekiranya itu hanya menunjuk-nunjuk atau setidak-tidaknya kita bersolat kerana kawan - kawan yang lain juga turut bersolat. Ini bertentangan dengan akidah dan pembawaan solat yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w Bayangkanlah betapa syirik telah dilakukan sekiranya kita solat untuk tatapan pandangan mata kawan - kawan sahaja. Bayangkan juga betapa jahilnya kita sekiranya tidak memahami semua perbuatan dan percakapan termasuk sebutan dalam solat yang dilakukan tetapi tidak memahaminya. Natijahnya, manusia tidak merasai roh sebenar solat dan akhirnya solat yang ditunaikan tidak memberi impak kepada manusia dan keadaan ini menyebabkan keadaan seseorang itu tidak berbeza sama ada menunaikan solat atau pun tidak menunaikan solat. Perkara inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Fahami dan mengerti perjuangan nabi, nescaya kita akan renungi segenap isi Islam dan Iman yang diletakkan di hati seluruh umat manusia yang mentauhidkan Allah s.w.t


Edisi Menjelang Asar 26 Februari 2012
Penyuluh Cahaya Pena

No comments: