[SALAM PERKENALAN PENA]


Friday 18 May 2012

TaLKiN HaTi SeBeLuM MaTi

Iman sentiasa bertambah dan berkurang. Itu hakikat dalam kehidupan setiap insan sama ada lelaki atau pun perempuan. Antara eleman keimanan termasuklah amalan yang berasaskan niat kepada Allah s.w.t. Tempat atau punca kepada segala niat adalah di hati yang terkandung pelbagai pengharapan hamba kepada penciptanya. Di sinilah segala peristiwa yang berlaku direkodkan dan diucapkan dalam bentuk yang tidak dapat didengar oleh orang lain melainkan orang yang mempunyai hati itu sendiri. Segala peristiwa sama ada gembira atau sedih, tawa atau pun hiba banyak dihimpunkan dalam satu ruangan yang dinamakan sekeping hati. Hati manusia ini sentiasa berubah - ubah mengikut persekitaran dan rangsangan kehidupan yang dialami oleh seseorang individu. Sebab itulah dalam Islam ada mengungkapkan sebaris kata doa "Wahai Tuhan yang membolak - balikkan hati, Tetapkanlah pendirian dan hati - hati kami" Doa tersebut diungkapkan bagi memohon kepada Allah supaya ditetapkan pendirian dan hati manusia yang sering berbolak - balik yang tidak mempunyai satu kawalan yang standard yang sentiasa konsisten. Persoalannya, mengapakah perkara ini terjadi? Jawapan kepada persoalan ini ialah apabila iman seseorang bertambah, hati akan lebih tenteram dan tetap dalam pendirian, tetapi apabila iman mula goyah atau menunjukkan sedikit kerapuhan, hati akan menjadi gundah gulana dan perasaan tidak tetap pendirian dan berubah - ubah sentiasa singgah di hati kerana tekanan persekitaran yang dihadapinya.



Mekanisme TALKIN HATI SEBELUM MATI merupakan satu wadah perjuangan seorang hamba untuk tetap mengingati penciptanya. Hati ini perlu snetiasa ditalkinkan supaya asas kehidupan tidak akan menyempang dan jauh daripada kehendak hati. Manusia sering terlupa dan keliru antara kehendak hati dan kehendak nafsu. Ramai yang mengatakan bahawa kehendak hati mestilah sesuatu yang positif, baik dan sempurna. Manakala kehendak nafsu membawa kepada kelalaian, pembaziran dan ketidaksempurnaan dalam kehidupan seharian. Maka, penulis mengatakan kedua - dua sangkaan tersebut adalah salah dan tidak benar sama sekali. Tidak semua kehendak hati membawa kebaikan, kerana hanya hati yang suci dan penuh dengan nilai keimanan sahaja yang mendorong pemilik hati tersebut ke jalan kebenaran dan kebaikan. Begitu juga dengan kehendak nafsu yang membawa kepada kesesatan, ini juga tidak benar kerana bukan semua nafsu membawa kepada keburukan kecuali nafsu yang rendah tingkatnya sahaja yang membawa kepada perkara tersebut seperti nafsu amarah dan lawwamah.



Untuk memberikan ingatan dan pelajaran buat diri yang tidak sempurna dan sentiasa melakukan kesilapan. hati perlu untuk sentiasa DITALKINKAN sama ada terhadap keperluan akhirat mahu pun untuk keperluan kehidupan di dunia. Alangkah manusia yang lengkap dengan satu set organ dan sistem yang sempurna juga boleh tersasar jauh daripada matlamat sebanar ia diciptakan, inikan pula hati yang hanya sebahagian penciptaan dalam diri manusia. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang sementara dan singkat ini tidaklah membawa apa - apa makna jika hati dan minda dikuasai dengan harta dan kesenangan dunia tanpa memberikan manfaat kepada jalan agama dan faedah untuk perkongsian makhluk yang lain di dunia ini. Hanya yang benar - benar cekal dan tabah dapat memahami betapa berertinya kehidupan dunia yang sedikit dipandang orang tetapi menjadi bekalan sepanjang zaman menuju ke lembah akhirat yang di sana nanti tidak akan ada yang boleh menyelamatkan melainkan amalan. Jika semua telah ditepati dan kita bersedia untuk berjalan ke negeri akhirat, maka selamatlah kita dalam perjalanan menuju dataran akhirat.

No comments: