[SALAM PERKENALAN PENA]


Tuesday 5 June 2012

MeNYeNTuH HaTiMu

Lewat malam ini, tiba - tiba perasaan yang dulu telah ditolak ketepi buat sementara waktu kembali terusik dengan raut wajah dahulu yang kian membayangi perjalanan hari - hari ini. Sukar merasakan keindahan dalam setiap gerak dan langkah kerana tari dan rentak yang dialami kini sudah berubah sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam realiti dunia hari ini. Bukan mudah untuk meletakkan diri pada tahap selesa untuk melakukan kebaikan tanpa terjebak dengan cara hidup kehidupan lama yang tidak begitu serius dan lebih banyak bergurau ke sana dan ke mari. Namun sebagai manusia yang lemah lagi dhaif ini, perlu untuk kita berusaha kerana matlamat dan impian itu telah kita lakarkan cuma kesungguhan mencapai matlamat itu sering dinodai oleh tindakan dan sikap yang tidak sesuai akibat hadirnya dugaan dan cabaran luaran yang semakin kuat. 



Bagi menyentuh hati orang yang beriman dan sayangkan Allah, maka perlu untuk diri kita juga meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Namun perlu diketahui dan disedarkan tujuan kita yang sebenar ialah bukan mendekatkan diri kepada Allah semata - mata untuk dipandang baik oleh insan - insan tertentu, tetapi sebaliknya insan tersebutlah yang mendorong kita untuk lebih kuat dan cekal dalam memastikan diri kita berada dalam naungan Allah buat selama - lamanya. Ya, saya akui betapa insan berubah - ubah dalam mencapai matlamat yang diletakkan sebagai penamat dalam kehidupan diri. Masing - masing insan menggunakan metod yang berbeza untuk menggapai impian, namun apa yang pasti bagaimana jalan dan cara yang ditempuh itu suci seperti sucinya matlamat yang telah kita tetapkan itu.

Semua insan mendambakn pasangan yang terbaik buat diri untuk membina keluarga yang bahagia dan sentiasa mendapat rahmat dari-Nya. Tetapi alangkah ruginya kerana banyak insan terlepas pandang kerana yang baik itu bukan mudah sebenarnya dilihat daripada luaran. Yang dimaksudkan dengan yang terbaik itu adalah sentiasa "TERSOROK" dan "TERSIMPAN" rapi walaupun tanpa pengawal peribadi. Ramai orang meneka bahawa kebaikan itu selalunya boleh dilihat daripada faktor luaran seperti pakaian, perbuatan dan percakapan, tetapi banyak insan terlupa bahawa kesemuanya itu sebenarnya boleh dibuat - buat bagi mencapai matlamat dan kepentingan peribadi. 



Asasnya sebaik - baik perkara ialah sesuatu itu kekal sama malah bertambah hebat sekiranya "TIDAK DIPERHATIKAN" oleh mana - mana individu sekalipun. Bagi memudahkan pemahaman, betapa hari ini berapa ramai yang mahu menghulur sumbangan jika tidak dilihat orang? berapa ramai yang mendoakan kebaikan rakannya tanpa diketahui oleh insan tersebut? berapa ramai yang mengambil pelajaran daripada kesilapan yang dilakukan oleh orang lain tanpa mengaibkan insan yang bersalah tersebut. Kesemuanya ini memerlukan penilaian semula buat diri yang bergelar insan supaya dapat MENYENTUH HATIMU.

No comments: