[SALAM PERKENALAN PENA]


Friday 8 June 2012

ToLaK DaKu KeRaNa MaHaRMu

Hari ini aku nukilkan sedikit berkenaan kisah dan cerita seorang hamba Allah yang bergelar MUSLIMAH di mana lelaki tidak akan tertarik dengan keayuan wajahnya mahupun kelembutan tutur bicara dan tingkahnya yang manja. Sebaliknya muslimah ini menjadi tarikan seorang lelaki kerana ketegasannya dalam menjaga perhubungan dengan manusia terutama yang berlainan jantina bagi menjaga batas dalam pergaulan. Muslimah ini juga menjadi tarikan lelaki kerana sifatnya yang suka memencilkan diri daripada khalayak bukan kerana sombong atau tidak pandai bergaul tetapi kerana menjadi dirinya yang mahal dan tinggi martabatnya di sisi Islam meskipun harga maharnya murah tetapi nilai maharnya tinggi. Benar dalam Islam meletakkan sebaik - baik wanita untuk kamu nikahi bagi lelaki ialah wanita yang rendah atau murah maharnya. Tetapi mahar itu bukan pada harga semata - mata tetapi lebih daripada itu melambangkan nilai keseluruhan seorang wanita yang sentiasa didamba lelaki yang beriman. Biar pun ramai yang mempersoalkan cara dan tingkahnya tetapi tidak sama sekali dirinya berganjak dengan keputusannya untuk kekal berada pada jalan Allah. Sesungguhnya taat dia hanya untuk suaminya dan maruahnya sentiasa terbela dengan landasan dan SYARIAT IMAN DAN ISLAM.



Takdir menentukan hati muslimah ini teruji dengan kehadiran seorang lelaki yang menyentuh hatinya untuk meletakkan dan menawarkan cinta yang telah difitrahkan Ilahi. Hati wanita yang mudah terusik dan goyah itu akhirnya menerima walaupun jauh di sudut hatinya sepanjang perjalanan hari - harinya penuh rasa bersalah dan penyesalan yang menghimpit jiwa. HENDAK DITOLAK mungkin itu adalah jodohnya kelak yang benar - benar akan menjadi suaminya nanti, tetapi penerimaannya pula menimbulkan keresahan dijiwa dan gundah dalam hatinya. Jika cinta itu benar seperti yang difitrahkan oleh Ilahi mengapa pula rasa gelisah yang menghimpit jiwa? Pertanyaan ini sering ditanya dan dihentam kepada diri sendiri yang akhirnya sama ada benci dalam rela, suka dalam terpaksa, muslimah itu perlu juga membuat keputusan yang benar sama ada memilih CALON BAKAL SUAMI (Lelaki yang baru hadir dalam hidupnya) atau memilih KEKASIH HATI DUNIA DAN AKHIRAT (Allah, Tuhan yang menciptakan). Tentu sekali keadaan ini memberikan situasi yang sukar untuk dilalui oleh seorang muslimah yang juga tidak terlepas daripada godaan nafsu dan bisikan syaitan. Namun apa yang pasti pemilihan ini bukan bertujuan untuk mengguriskan hati mana - mana pihak sebaliknya untuk mewujudkan jarak. Ya "JARAK" itu "MENJAGA" bukan pada jasad juga pada "JIWA." Muslimah itu percaya demi sesungguhnya imannya sangatlah lemah dan goyah meskipun hanya KEKASIH HATI DUNIA AKHIRAT menjadi sandarannya selama ini.



Bagi bersikap lebih adil dan menjaga kesucian Islam daripada fitnah dan pandangan dengki dan hasad manusia. Muslimah ini akhirnya memilih supaya akhirnya lelaki itu boleh tenang dan tabah mengucapkan kata "TOLAK DAKU KERANA MAHARMU" Muslimah ini terpaksa membuat pengakuan yang dirinya juga tidak lepas daripada perasaan yang diciptakan Ilahi. Namun seandainya perasaan itu benar untuk ditunaikan maka jalannya mestilah halal dan bertepatan dengan syariat yang telah menetapkan betapa maharnya itu tinggi nilainya. Demi sesungguhnya muslimah itu masih lagi belajar dan berada dalam tanggungan WALINYA iaitu ayah dan ibunya sebagai orang yang membesarkannya. Bukan dirinya tidak kenal hukum Islam bahawa wujudnya NIKAH KHITBAH (GANTUNG) bagi merealisasikan tujuan lelaki untuk mengelakkan maksiat. Namun muslimah itu sedar betapa ini bukan jalan yang terbaik. Sebagai anak yang solehah, beliau turut memikirkan apakah perasaan yang dialami oleh kedua ibu bapanya apabila perkahwinan itu terjadi sedangkan masa untuk bersama kedua ibu bapa itu belum lagi puas dikecapi. Pesan terakhir muslimah kepada lelaki tersebut, Jagalah dirimu sesungguhnya jika benar niatmu itu, pinanglah daku mengikut lunas dan syariat, aku ini bukan sesiapa tanpa waliku yang berhak terhadap aku. Jagalah DIRI, HATI DAN IMAN kerana jika kau seorang lelaki yang baik, kau tidak akan membiarkan maksiat menyelubungi dirimu. Sekarang bukan masa untuk kita bersama, tetapi untuk kita belajar meningkatkan ilmu di dada agar nanti aku dan engkau tidak akan merasa penyesalan yang tidak akan sampai ke penghujungnya.



JIKA AKU YANG ENGKAU HAJATI, MAKA JAGALAH DIRI DAN PERLAKUANMU, KERANA MENURUT KALAM ILAHI, HANYA YANG BAIK SAHAJA SEPADAN UNTUK YANG BAIK.