[SALAM PERKENALAN PENA]


Thursday 6 December 2012

APaBiLa KiTa DiSoAL?

Assalamualaikum buat semua teman dalam alam maya yang dengannya boleh menyebarkan kebaikan dan dengannya juga boleh mendatangkan mudarat. Sesungguhnya mudarat itu lebih dekat kepada semua manusia kecuali mereka yang mempunyai hati yang ikhlas dan takutkan Allah. Ruangan hari ini akan membahaskan mengenai persoalan demi persoalan yang akan diajukan kepada kita di dunia ini sehinggalah ke akhirat nanti InsyALLAH. Namun sebelum menjawab persoalan itu berdasarkan pandangan peribadi penulis, perlulah kita melihat isu ini secara keseluruhannya dahulu.

Persoalan merupakan lontaran pertanyaan yang diajukan oleh seseorang kepada kita disebabkan oleh kekeliruan, ketidakfahaman, kurang kejelasan dan percanggahan pendapat. Persoalan diajukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci untuk mengetahui maksud sebenar orang yang mengeluarkan kenyataan. Sebaliknya terdapat juga persoalan yang kurang senang untuk kita jawab disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan kita, atau pun tindakan dan gaya penyoal yang seolah - olah sengaja mempermainkan pengetahuan kita yang terbatas ini. Namun begitu, abaikan sikap penyoal yang kedua, dan berdoalah supaya kita tidak tergolong dalam golongan tersebut kerana Allah tidak suka kepada orang yang membangga diri dan menunjuk - nunjuk kelebihan diri kepada orang lain. Bukankah lebih baik jika kita berkongsi nikmat pemberian itu? 



Apabila kita disoal hendaklah kita bersangka baik terlebih dahulu. Jawab mengikut kemampuan diri berdasarkan pengetahuan yang ada. Sebab itulah perlunya membaca dengan banyak, tujuannya bukan untuk memudahkan diri kita menjawab soalan, tetapi menambahkan ilmu pengetahuan. Kedua, kita mestilah yakin dalam memberikan jawapan terutama yang melibatkan soalan yang berbentuk pendapat peribadi kita. Janganlah takut untuk membuat salah, kerana semua orang belajar daripada kesilapan. Ketiga, sedarilah bahawa diri kita akan disoal sebaik sahaja dikafankan dan disemadikan di tanah perkuburan kelak. Jika kita tidak mampu menjawab persoalan manusia, apatah lagi persoalan malaikat utusan Allah itu kelak. Terakhir sekali hendaklah kita mengerti dan sedari bahawa semua amalan kita akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat kelak dan akan dipersoal satu per satu. 

Di saat itu nanti adakah kita mampu menjawabnya? Saya tinggalkan persoalan itu sebagai renungan buat kita bersama. Kita ini makhluk yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan di dunia ini. Maka berhati - hatilah dalam kehidupan ini kerana kematian bakal menunggu dan menghampiri semakin dekat setiap hari. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati, semua orang inginkan kebahagiaan dan ketahuilah bahawa kebahagiaan sebenar ialah di AKHIRAT.


No comments: