[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday 2 December 2012

LaYaR DaKWaH SeNtiaSa TeRCaBaR

Salam seawal pagi buat semua. Pagi ini kembali menyambung penulisan yang sedikit, mudah - mudahan memberi makna yang besar buat diri ini dan pembaca semuanya. Entah mengapa sukar pula melelapkan mata. Sukar juga untuk menyambung semula melakukan tugasan yang diamanahkan oleh pensyarah universiti ini. Mungkin disebabkan faktor kesihatan yang sedikit menganggu konsentrasi dan fokus untuk membuat kerja pada hari ini. Bertemankan keheningan pagi dengan hanya mendengar detikan jarum saat pada jam dinding membuatkan diri ini tersedar tentang masa yang terus beredar tanpa mempedulikan sama ada manusia dan makhluk yang lain sedang berhenti melakukan sesuatu urusan atau pun sebaliknya.



Masa akan terus berlalu sedangkan kita akan terus alpa dan lalai sekiranya tidak berusaha untuk menjaga urusan kita. Urusan yang paling utama ialah dengan pencipta kita ALLAHURABBI. Dalam hidup ini, kita disajikan dengan pelbagai ragam manusia dan kita sendiri mempunyai cara tertentu untuk menghadapi hari - hari yang mendatang. Bukan senang sebenarnya untuk meneruskan perjalanan hidup ini jika kita hanya mengikut trend dan perlakuan seseorang tanpa ada tujuan dan matlamat sebenar. Hidup sebagai seorang manusia yang memegang Islam sebagai teras kehidupan akan membuatkan diri kita berfikir dan merenung semula peribadi diri. Hal ini akan membawa kita untuk menginsafi diri dan akan berasa malu kepada Allah di atas setiap perbuatan yang telah kita lakukan. Dalam hati hanya mahukan kebenaran dan keadilan yang tertegak di bumi Allah ini, tetapi apakan daya banyaknya ruang maksiat dan kemungkaran yang ada telah mencemarkan jati diri orang Islam dan mudah untuk melakukan perkara dosa dan maksiat. Sememangnya kita makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Hanya kepada Allah tempat kita memohon bantuan.



Hidup sebagai seorang insan yang mengamalkan ajaran Islam dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W memerlukan kita untuk berdakwah supaya kebenaran tertegak atas kalimah LAILAHAILLALLAH. Jika terdapat sahabat handai dan teman taulan yang melakukan kemungkaran, kita akan bertindak untuk menegur. Begitu juga di kalangan keluarga kita yang melakukan kesalahan yang kadang kala tidak mereka sengajakan. Jalan dakwah selalu teruji dengan tindak balas negatif daripada manusia yang didakwah, dan ini merupakan perkara yang biasa berlaku. Jangan berputus asa biarkan kadang kala boleh menjejaskan hubungan persahabatan dan kekeluargaan yang dahulunya erat tetapi sedikit renggang. Jika perkara ini berlaku, carilah ruang damai dan berilah tempoh masa supaya dengan masa yang ada dapat mengubat luka yang berdarah. LAYAR DAKWAH SENTIASA TERCABAR dengan tingkah laku manusia yang sukar untuk menerima kesalahan diri. Kita juga mungkin tergolong sebahagian daripada mereka. NAUZUBILLAH!



Apa yang penting ialah bina semula kekuatan yang ada. Bukan cabaran yang harus kita nilai, tetapi sejauh mana dan sebanyak mana usaha kita untuk menempuh cabaran itu. Luaskan pandangan, positifkan fikiran dan lapangkan dada dalam menerima setiap perkara yang berlaku. Pendakwah mestilah kuat dan tidak boleh berada dalam keadaan lemah biarpun dihunuskan senjata yang amat pedih dan menikam perasaan. Sabar itu sebahagian daripada iman. Ingat dihati sentiasa, jika laluan untuk memiliki Islam dan meningkatkan iman itu mudah buat semua manusia, maka tiadalah cabaran yang dihadapi oleh pendakwah untuk menyegarkan kembali dan menegakkan ajaran Islam. Dan mungkin sahaja pendakwah juga tidak diperlukan lagi, kerana semua orang patuh dan tegak berdiri pada ajaran Islam dan memiliki kekuatan Iman. Maafkan mereka yang menentang dakwahmu kerana dirimu jua pasti melakukan kesalahan seperti mereka dahulu. 

Sesuatu yang paling penting tetapi selalu dilupakan pendakwah ialah mereka mencari kejayaan dalam menyampaikan dakwah tetapi sering tewas dan gagal untuk melaksanakan dan mengamalkan setiap ajaran yang telah mereka sampaikan itu. Sekadar renungan buat kita bersama. Semoga ada manfaat dan BEROLEH KEBERKATAN DARIPADA ALLAH.

No comments: