[SALAM PERKENALAN PENA]


Saturday 18 May 2013

AnDai KiTa KeHiLaNGaN

Salam buat pembaca yang budiman. Dipanjatkan syukur di atas nikmat dan pemberian yang melimpah ruah dengan belas ihsan supaya diri ini terus berada dalam lindungannya. Selawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat baginda yang sama-sama berjuang mempertahankan agama Islam yang syumul ini. Setiap orang pernah merasa kehilangan dan tentu sahaja kita telah kehilangan baginda Nabi, tetapi dalam hati kita masih hidup peninggalan yang baginda tinggalkan supaya dapat kita bersama baginda di akhirat dan di syurga kelak.

Kehilangan itu mengajar kita tentang erti kecukupan dan keinsafan. Perjalanan sebagai manusia tidak membataskan kita kepada keinginan yang kita dambakan kerana didorong oleh hawa nafu dan godaan dunia yang ditaja sepenuhnya oleh syaitan dan iblis laknatullah. Dalam pada kita merentasi dan melalui kehidupan di dunia ini, kita sering kali disajikan dengan pelbagai kelazatan dunia yang indah pada pandangan mata dan nafsu tetapi ragu-ragu pada pandangan hati (dek kerana hati yang kotor) tetapi sudah tentu sahaja ianya tidak sesuai pada pandangan iman dan taqwa. Membariskan kata-kata yang penuh dengan unsur keimanan semata-mata tidak membuatkan kita mempunyai benteng yang mantap untuk menghadapi cabaran dan ujian hidup. Niat yang ikhlas juga tidak mampu menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia tanpa adanya usaha kita yang istiqamah untuk mengingati Allah sebagai Tuhan yang menciptakan kelemahan dan kelebihan yang terdapat dalam diri manusia.



Kehilangan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Hakikatnya, Islam menggariskan beberapa perkara yang sangat menjadi kesanyangan manusia. Antaranya ialah WANITA, ANAK-ANAK, HARTA, KENDERAAN, KEBUN TANAMAN. Kesemuanya itu menggambarkan kesenangan kehidupan seseorang di dunia ini. Tetapi adakah seseorang individu yang memiliki kesemua perkara di atas akan menemui kesenangan juga di alam akhirat sana? Ianya bergantung kepada bagaimana cara dia menerima dan menggunakan perkara tersebut. Ada orang memandangnya sebagai nikmat semata-mata, tetapi sebahagian orang memandangnya sebagai ujian dalam kehidupan. Mengambil bahagian yang perlu dan dikembalikan bahagian yang lain untuk tujuan agama Islam yang syumul. Menjalankan hak manusia yang diperintahkan oleh Allah dan menjalankan hak Allah yang diperintahkan ke atas manusia.

Kehilangan juga mengajar kita erti berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa untuk mendapatkan perkara yang kita idamkan antaranya seperti di atas. Walaupun begitu, ramai juga yang berputus asa dalam perjalanan mencari perkara tersebut. Ada yang gembira dan ada pula yang menangis. Itu adalah perkara biasa dan sesuatu yang lumrah. Apabila kita kehilangan sesuatu, pastinya kita akan mula menghargai sesuatu yang telah kita hilang itu. Dan dalam banyak keadaan perkara tersebut telah menjadi sesuatu yang biasa dan akan dilupakan apabila kita mendapat sesuatu nikmat pemberian yang lain pula. Jikalau kehidupan ini merupakan sebuah buku ujian, biarlah kita menjadi calon yang akan menduduki ujian tersebut dengan penuh bersedia, membaca dan mengulang kaji segala pelajaran, menghafal, menyiapkan diri dengan persediaan mental, fizikal dan rohani yang mantap.

Akhir kata pesan hati kepada diri: Benar hidup di dunia ini cuma sekali, tetapi jangan kita abaikan yang rosakkan yang sekali ini. Kerana sekali ia pergi, tidak akan datang pula yang lain lagi.

No comments: