[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday 12 May 2013

KeRaNa KeSaKiTaN iTu SuMBeR KeKuATaN

Assalamualaikum buat semua pembaca. Selawat dan salam buat rasul junjungan, keluarga dan sahabat baginda dan semua yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di alam ini. Rasa syukur dengan hati yang luhur dipanjatkan kepada Allah supaya hati ini berasa tenang dengan ujian dan dugaan yang diberikan oleh-Nya kepada semua makhluk yang menjadi pilihannya. Sesungguhnya makhluk yang terpilih itu akan menjadi dekat dan sangat hampir dengan-Nya lalu menguji dan membantu sesuai dengan cara yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya cara itu indah sekali.

Lewat minggu ini yang masih berbaki beberapa hari sahaja untuk menamatkan perjuangan di semester terakhir memberikan bebanan minda untuk difikirkan tentang nasib rakan-rakan seperjuangan yang satu demi satu tumbang dan rebah di medan perjuangan di tempat orang, jauh dari kampung halaman. Mereka ditimpa kesakitan demi kesakitan yang membuatkan mereka ada yang terlantar di hospital dan ada pula hanya berdiam diri menahan kesakitan kerana kekangan dan halangan peribadi yang masing-masing alami. Hanya KERANA KESAKITAN ITU SUMBER KEKUATAN membuatkan kami antara yang datang melawat tersenyum melihat sahabat yang sakit dek kerana kemampuannya yang boleh tertawa meskipun dilanda musibah yang amat teruk.



Ya, kesakitan itu adalah kekuatan kerana dengannya kita belajar erti kekuatan dan kesabaran. Sering kali dalam doa ketika tidur dan jaga, kita memohon kepada Allah supaya menganugerahkan kepada kita kekuatan dan kesabaran. Dan sesungguhnya kekuatan dan kesabaran itu hanya teruji dengan datangnya cabaran dan halangan untuk kita mengecapi impian hidup kita. Selalunya apabila kita berada dalam keadaan sakit, semua aktiviti kehidupan kita akan terhad dan terbatas, dalam waktu inilah kita mula sedar dan merasa bahawa kita telah membazirkan beberapa potong waktu dan lembaran kehidupan yang sengaja kita biarkan terpadam daripada api usaha yang mantap. Kita perjudikan masa yang ada dengan keseronokkan yang sementara sedangkan kejayaan pada masa hadapan belum lagi menjadi suatu kepastian.



Apa yang penting ialah berkorban selagi terdaya. Ambillah contoh daripada orang yang sakit, semakin banyak dan perit kesakitan yang mereka alami, semakin kuat dan cekal mereka untuk mengusahakan segala impian mereka supaya menjadi kenyataan. Berikan aku bulan supaya aku tahu betapa kuat dan pekatnya cahaya matahari. Berikan aku lautan, supaya aku hargai betapa indah dan seronoknya berada di dataran, meskipun aku selalu menyatakan yang pantai itu indah. Dalam sangkaanku pantai itu lautan, tetapi aku terlupa dan tersilap bahawa pantai itu hasil daripada percantuman dua elemen iaitu lautan dan daratan, air laut dan pepasir yang memutih.
  

No comments: