[SALAM PERKENALAN PENA]


Saturday, 15 June 2013

HaRGa SeBuAH HaRaPaN

Salam semuanya yang sentiasa berada dalam lindungan kebaikan dan limpahan cahaya rahmat dan petunjuk daripada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul junjungan seluruh alam. Seindah salam pembuka bicara supaya diri ini dan kalian semua kekal dalam lindungan kasih dan pepohan belas kasihan daripada-Nya. Sesungguhnya kita sentiasa mengharapkan bantuan daripada-Nya dalam menuju jalan dunia dan lembah akhirat. Itulah HARAPAN yang selalu digantungharapkan. Namun, adakah harapan yang tinggi ini sesuai dengan insan yang juga entah ada HARGA atau tidak disisi-Nya nanti. Itulah yang dinamakan HARGA SEBUAH HARAPAN.



Manusia punya banyak cita-cita dan impian. Sering kali semuanya itu datang daripada sebuah buku yang dinamakan perjalanan hidup yang membuatkan manusia mempunyai pelbagai hajat dan keinginan yang perlu untuk dilunaskan menurut kehendak diri, nafsu, mahupun naluri. Namun kehendak itu bukanlah kita yang tentukan sama ada selaras dengan kehendak Ilahi atau sebaliknya, kerana hanya Dia yang mengetahui untung buruk atau baik nasibnya diri kita nanti. Tetapi semua dalam kalangan kita punya harapan walaupun kita tahu  betapa sukarnya untuk memenuhi kehendak dan hajat diri kita sendiri. Kita sering kali merenung apa yang tidak kita capai tanpa berterima kasih kepada apa yang telah kita nikmati selama ini. Betapa ramai dalam kalangan kita yang merintih di hari dia dilanda kesakitan, tetapi bergembira dengan lupanya diri kepada Pencipta di kala dirinya sihat suatu ketika dahulu. Tetapi ini tidak memadamkan harapannya untuk terus meniikmati nikmat kesihatan dan inilah yang dinamakan betapa harapan ini punya harganya!



Dalam pada itu, ada juga harapan yang tidak punya harga bergantung kepada siapa dan bagaimana harapan itu dicetuskan. Kita sering juga meletakkan harapan yang hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Jika harapan kita ditunaikan, maka bergembiralah diri kita, sebaliknya jika harapan kita tidak diperkenankan maka kita akan merintih seolah-olah manusia yang tiada iman, meskipun kita dahulunya seorang yang taat dan kuat imannya suatu ketika dahulu. Hidup ini luas bagi yang menikmatinya untuk kehidupan akhirat walaupun mereka itu sedar dan mengetahui bahawa kehidupan akhirat itu lebih luas dan mendalam. Tetapi hidup ini dirasakan sempit bagi mereka yang tidak punya jiwa dan matlamat untuk kembali kepada Allah. Sesungguhnya kita ini diciptakan, jangan lupa kepada yang mencipta dan kerana kita ini hamba, seharusnya harapan seorang hamba meski kena pada larasnya dan bukan terlalu tinggi sehingga dibuai angan sedangkan tidak pula terlalu rendah sehingga disapa bayu kehinaan.