[SALAM PERKENALAN PENA]


Friday, 18 May 2012

BeRHeNti MeNGEJaR DiRiMu

Hari ini lengkaplah pusingan cerita seorang insan yang bergelar lelaki, putaran suka duka kehidupan dilihat dengan jelas dan pengalaman itu dikutip satu persatu sebagai hamparan kepada kehidupan yang beralaskan onak dan duri ini. Segala peristiwa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya dan tiadalah pengharapan ini ku gantungkan hanya kepada Allah sebagai Tuhan Penguasa kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Di sini kaki ku melangkah, dan di sini jugalah aku pernah jatuh terngadah. Namun segalanya memberikan aku sebuah buku bernama pelajaran yang tidak terdapat dalam mana - mana pasaran. Diri ini sayu dan melangkah pergi bersama hilangnya pengalaman itu yang telah memberi bekas dalam hati ini.

Sungguh diri ini buta untuk mengenal perjalanan kehidupan dunia yang selalu menghampakan. Dalam mengecapi banyak habuan hidup yang selalu diharapkan setiap insan. Diri ini juga telah melalui banyak perjalanan suka duka dan tangis tawa nilai seorang insan. Bermula dengan episod perjalanan hamba mencari pencipta-Nya, sehinggalah kepada peristiwa perjalanan kisah seorang lelaki yang mencari tulang rusuk kirinya yang ada tetapi entah di mana. Dalam menelusuri langkah pencarian seorang lelaki kepada sesuatu yang sangat bernilai tetapi sukar ditemui itu. Insan ini dihadapkan dengan banyak onak cabaran dan liku kehidupan supaya langkah kakinya tidak tersasar meskipun niat asalnya adalah benar. Tiada yang lebih indah dari melihat sesuatu yang diingini berada dalam genggaman seperti kasihnya burung pada setiap dahan dan ranting pepohon. Selalu dihinggapi untuk menjadi teman sepermainan di kala duka dan lara, senang dan riang bersama tetapi takdir telah menentukan betapa burung nan indah itu bukan milik pepohon.



Begitulah kisah insan yang mengharap dambaan kasih seorang teman, yang disangkanya akan kekal selamanya, tetapi masa dan ketika memisahkan jalan cerita dua insan di dunia yang sementara ini. Buat yang namanya teman, berkongsi cerita di kala senang, berkongsi duka di kala lara. Ini adalah jalan yang terpaksa dirimu dan diriku lalui tanpa mengenal dan menyoal natijah daripada pertemuan dan perpisahan ini. Awal perpisahan menemukan insan yang bergelar lelaki tentang erti kekecewaan, kesedihan dan ketidaktentuan dalam melalui kehidupan yang mendatang. Namun sebagai pemilik tulang rusuk yang indah dan tenteram, hati ini kembali harmoni dalam cebisan baris doa yang dihamparkan buat penawar dan pengubat hati dikala kerinduan. Segalanya diadukan pada Ilahi tanpa segan silu kerana hanya Dia yang menjadi penentu usaha hamba-Nya di dunia ini. Akhirnya, dalam pengaduan seorang insan yang bergelar lelaki ini, dia diberi jawapan nan indah dan berseri mengenai pencariannya yang dirasakan gagal sama sekali.

Rupa - rupanya kerinduan itu bukan milik tulang rusuk yang belum bersedia untuk bersama keseluruhan teman tulang-belulangnya yang lain. Tulang rusuk itu rupanya masih rapuh dalam ketegasan yang dipamerkan terhadap alam yang buas ini. Tulang itu masih berpura - pura telah matang dalam melalui perjalanan kitaran kehidupan ini. Namun jelasnya kesemuanya itu hanya palsu dan lakonan semata - mata. Rindu itu milik Pencipta tulang rusuk itu, bukan milik tuan sementara tulang itu, tetapi milik Pencipta tulang dan Pencipta tuan empunya tulang. Maka dengan itu, langkah seorang lelaki itu semakin gagah dan berani tanpa kenal erti kecewa dan hampa. Segala rindu dicurahkan kepada Pencipta yang setia menunggu, bukan seperti tulang rusuk kiri yang rapuh dan palsu itu. Dari kerinduan berputik kasih dan sayang yang tanpanya hati menjadi gundah gulana. Dari itu langkah ini ku hentikan dengan gerak tari yang tiba - tiba menjadi kaku dan membisu. Lelaki itu telah BERHENTI MENGEJAR DIRIMU supaya dirimu tahu untuk menghargai dan memperkemas diri buat insan yang bergelar lelaki.

Kini lelaki itu masih di sini, bersama kicauan burung dan pepohon yang setia menanti. Walau keadaannya berbeza dan waktu kian berlalu. Namun rindu dan sayang itu dipautkan dan disandarkan pada Pemilik Hati yang tidak akan mati walaupun lelaki itu akan pergi meninggalkan dataran permainannya. Buat tulang rusuk yang telah sedia menanti, ketahuilah ada masa dan ketika diri ini tidak perlu berlari dan harusnya berhenti mengejar dirimu kerana ketetapan itu pasti, jodoh itu adalah janji Ilahi, takdir itu adalah suci. Semoga berjumpa lagi, walau apa pun akhir penceritaannya, ketahuilah bahawa dirimu telah menjadi sebahagian lembaran dalam catatan kehidupan perjalanan hamba dan insan yang bergelar lelaki.



Penyuluh Cahaya Pena,
Berhenti Mengejar Dirimu.

Saturday, 5 May 2012

DoAkU INi

Ya Allah, Permudahkan segala URUSANku... 

Wednesday, 18 April 2012

HiDuP INi

Salam rindu titipan anak muda buat semua pejuang untuk mujahadah diri. Agak lama juga tidak mencoretkan walaupun sedikit tulisan dalam ruangan yang ada ini. Senarai semak diri telah menunjukkan betapa penuhnya jadual dengan diisi oleh beberapa aktiviti dan kegiatan selain daripada belajar. Apa yang boleh diperkatakan kerisauan melanda tatkala sibuknya diri ini diisi oleh perkara manfaat atau sebaliknya. Itulah yang memerlukan perhatian dan penilaian yang sebaiknya dalam memenuhi masa lapang ini. Pertama dan yang utama kembalikan diri kepada fitrah cinta sejati dalam pegangan dan rahmat oleh-Nya. 



Mudah-mudahan segala perbuatan dikira sebagai amal meskipun hina dan keji dipandang orang. Umpama 2 perkara ini iaitu KEKAYAAN dan KECANTIKAN merupakan perkara subjektif yang selalu mengundang tafsiran manusia sama ada positif dan tak kurang juga dengan kritikan sinis yang berbaur negatif. Walau apa pun teruskan usaha selagi terdaya kerana kau dan aku punya TUHAN yang sentiasa melindungi dan mendengar segala bisik dan rayu.

Wednesday, 14 March 2012

PeSaN NaBi S.A.W

Assalamualaikum buat semua yang berada di seantero dunia. Wahh, gaya bahasa macam lah blog ini dibaca oleh semua orang di dunia, Mereka semua itu faham ke bahasa Melayu? Opps, terlupa yang bahasa Melayu ialah bahasa ke-4 bilangan penutur teramai di dunia. Apa-apa pun tidak dilupakan bahasa Arab yang menjadi bahasa Syurga kelak. InsyAllah, walaupun saya tak pandai berbahasa Arab tetapi tetap kagum dengan ilmuan yang mahir Arab seperti Ustaz Zahazan Mohamed yang pakar mentafsir Al-Quran dan Hadis. Kadang -kadang zaman budak -budak dahulu pernah juga terfikir yang orang yang tak pandai berbahasa Arab boleh ke masuk syurga? Akhirnya saya beranikan diri tanya ustazah sekolah agama, dan dia menjawab... Kalau awak tak tahu nanti tiba-tiba awak akan tahu bila di Syurga nanti, yang penting dekatkan diri kepada Allah. Kita tahu kan Allah Maha Berkuasa. Barulah tersenyum dan seronok saya mendengar. Namun di akhir kata ustazah tu dia pesan kat saya. Awak belajarlah bahasa Arab kan senang... 






Maaf saya dah melalut jauh daripada topik perbincangan hari ini. PESAN NABI itulah perkara yang ingin dinukilkan dalam ruangan kali ini iaitu "JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA SEMALAM" Sebenarnya ungkapan mulia ini telah lama kita dengar dan dekat dengan hati-hati kita jika orang yang selalu pergi ke Majlis Ilmu. Namun pelaksanaannya bagi diri ini terasakan amat sukar untuk menjadi konsisten amlah lebih baik setiap hari yang mendatang. Walau apa pun kita kena ingat itu adalah pesan nabi kita dan semestinya mempunyai maksud yang indah seindah ungkapan tersebut. Bijak Nabi kita dalam memberikan motivasi, Tiba-tiba terasa rindu pada Nabi semakin kuat. JOM BERSELAWAT...! Orang kata kalau kita rindu pada Nabi rajin-rajinlah berselawat. Mudah-mudahan terubat sedikit rindu kita itu. Sekian sahaja penulisan kali ini, Moga mendapat kemudahan melaksanakan urusan dunia dan akhirat.

Sunday, 11 March 2012

GaNTiKaNLaH PeRLaKuAnMu

Salam mujahadah buat semua insan yang bergelar Islam dan mempunyai Iman dalam hatinya. Pada hari ini hala tuju penulisan yang dilakukan akan digerakkan lagi dengan menyingkap tajuk yang amat memberi erti dalam hidup penulis. Ya, GANTIKANLAH PERLAKUANMU menuntut penulis dan para pembaca kesemuanya supaya mengubah atau dalam erti kata lain menggantikan sesuatu perlakuan yang buruk itu kepada sesuatu yang lebih indah, baik dan elok pada pandangan Allah s.w.t Persoalannya bagaimana mungkin kita dapat menilai sesuatu itu sama ada memberi manfaat dari kaca mata Allah, Maka di sini penulis mula tertanya - tanya adakah sesuatu yang dianggap elok dan baik itu hanya berfokuskan kepada aspek agama semata - mata seperti memebaca Al-Quran dan ritual keagamaan yang lain? Rupa - rupanya persepsi penulis ternyata meleset apabila yang dimaksudkan dengan manfaat itu ialah MERASAI dan BERKONGSI manfaat kepada semua yang ada di sekeliling kita. Namun bagaimana manfaat itu dapat dirasai dan dikongsi secara bersama. Maklum sahajalah manusia ini bersifat bakhil dan sukar untuk melakukan perkara kebaikan.






Lebih indah daripada warkah ini telah menukilkan bahawa sesungguhnya Islam itu sempurna dan meliputi keseluruhan gaya hidup. Kesedaran penulis terhadap hakikat ini bukanlah sesuatu yang nyata dirasai ke dalam jiwa sebaliknya hanyalah perbuatan yang indah di mata tetapi jauh di hati penulis. Mencari gali maksud disebalik semua perkataan itu maka jawapan yang ingin ditemukan akhirnya ditemui. Dengan mudah dan cukup bermakna bahawa pada hari ini kita memandang Islam itu hanya sekadar kata keramat yang bukan lagi berpaksikan hati yang tulus kepada Allah. Membawa perkataan tersebut, penulis sekali lagi mencuba mencari maksud sebenarnya Islam itu. Ya indah pada nama tetapi apalah maksud disebalik nama jika hanya sekadar sedap sebutan di bibir sama - mata.






Islam itu dikatakan meliputi kehidupan sekiranya kita:
1) Melihat, mendengar, menyebut dan merasai hakikat hidup bertuhan (Allah)
2) Kita diuji dengan kesusahan dan penderitaan tetapi tidak sedikit pun merasa terbeban
3) Sikap kita yang berubah membuatkan kita berusaha supaya takat iman tidak menurun
4) Gantikan segala perbuatan buruk, keji, hina dan sia - sia kepada kebaikan hakiki
5) Sesungguhnya merasai dan menjiwai betapa kita ini lalai dan banyak dosanya tetapi 
    sering sahaja diampunkan oleh Allah dan dimaafkan oleh manusia lainnya.


Maka oleh itu dengan sesungguhnya, GANTIKANLAH PERLAKUANMU itu dengan kebaikan kerana dengan itu mudah - mudahan peroleh keampunan dan kemaafan yang berpanjangan. InsyAllah
11 Mac 2012 Edisi Menjelang Fajar
Penyuluh Cahaya Pena