[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday, 12 May 2013

KeRaNa KeSaKiTaN iTu SuMBeR KeKuATaN

Assalamualaikum buat semua pembaca. Selawat dan salam buat rasul junjungan, keluarga dan sahabat baginda dan semua yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di alam ini. Rasa syukur dengan hati yang luhur dipanjatkan kepada Allah supaya hati ini berasa tenang dengan ujian dan dugaan yang diberikan oleh-Nya kepada semua makhluk yang menjadi pilihannya. Sesungguhnya makhluk yang terpilih itu akan menjadi dekat dan sangat hampir dengan-Nya lalu menguji dan membantu sesuai dengan cara yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya cara itu indah sekali.

Lewat minggu ini yang masih berbaki beberapa hari sahaja untuk menamatkan perjuangan di semester terakhir memberikan bebanan minda untuk difikirkan tentang nasib rakan-rakan seperjuangan yang satu demi satu tumbang dan rebah di medan perjuangan di tempat orang, jauh dari kampung halaman. Mereka ditimpa kesakitan demi kesakitan yang membuatkan mereka ada yang terlantar di hospital dan ada pula hanya berdiam diri menahan kesakitan kerana kekangan dan halangan peribadi yang masing-masing alami. Hanya KERANA KESAKITAN ITU SUMBER KEKUATAN membuatkan kami antara yang datang melawat tersenyum melihat sahabat yang sakit dek kerana kemampuannya yang boleh tertawa meskipun dilanda musibah yang amat teruk.



Ya, kesakitan itu adalah kekuatan kerana dengannya kita belajar erti kekuatan dan kesabaran. Sering kali dalam doa ketika tidur dan jaga, kita memohon kepada Allah supaya menganugerahkan kepada kita kekuatan dan kesabaran. Dan sesungguhnya kekuatan dan kesabaran itu hanya teruji dengan datangnya cabaran dan halangan untuk kita mengecapi impian hidup kita. Selalunya apabila kita berada dalam keadaan sakit, semua aktiviti kehidupan kita akan terhad dan terbatas, dalam waktu inilah kita mula sedar dan merasa bahawa kita telah membazirkan beberapa potong waktu dan lembaran kehidupan yang sengaja kita biarkan terpadam daripada api usaha yang mantap. Kita perjudikan masa yang ada dengan keseronokkan yang sementara sedangkan kejayaan pada masa hadapan belum lagi menjadi suatu kepastian.



Apa yang penting ialah berkorban selagi terdaya. Ambillah contoh daripada orang yang sakit, semakin banyak dan perit kesakitan yang mereka alami, semakin kuat dan cekal mereka untuk mengusahakan segala impian mereka supaya menjadi kenyataan. Berikan aku bulan supaya aku tahu betapa kuat dan pekatnya cahaya matahari. Berikan aku lautan, supaya aku hargai betapa indah dan seronoknya berada di dataran, meskipun aku selalu menyatakan yang pantai itu indah. Dalam sangkaanku pantai itu lautan, tetapi aku terlupa dan tersilap bahawa pantai itu hasil daripada percantuman dua elemen iaitu lautan dan daratan, air laut dan pepasir yang memutih.
  

Friday, 3 May 2013

YaNg BeRkATa KeRaNa ALLAH & RaSuL

Salam muhasabah diri buat semua. Alhamdulillah kerana masih berkesempatan untuk menulis dengan menggunakan baki sisa dakwat pena yang semakin kering ini. Kita cuba periksa diri dan hati, emosi dan jiwa, akal dan naluri sama ada bertunjangkan Pemilik Langit dan Bumi sebagai Pemilik Mutlak bagi settiap jantung hati manusia atau hakikatnya hati kita bukan pada Sang Pencipta tetapi kepada dan untuk makhluk yang diciptakan. Oleh sebab ramai YANG BERKATA KERANA ALLAH DAN RASUL dan kekerapan itu semakin memuncak, maka izinkan pena ini menukilkan tentang hakikat diri kita yang berkata sedemikian. Seorang pun tidak lepas daripada menyatakan ayat tersebut, lebih - lebih lagi yang kelihatan "alim" dan "warak' di mata manusia. Namun bukan itu matlamatnya, kerana keikhlasan itu selalunya tidak perlu dizahirkan meskipun menzahirkannya tidak salah. Cuma selaku insan yang goyah iman dek kerana pengaruh syaitan dan nafsu dan kelemahan diri sendiri, seringkali pujian dan pandangan mata orang itu lebih kita utamakan daripada pandangan ALLAH DAN RASUL. 



Apabila seseorang itu berkata bahawa dia tidak mempunyai sebarang kepentingan, tidak bermotifkan peribadi dan perjuangan serta jalan yang ditempuhi hanya kerana Allah dan Rasul, perkara ini seakan - akan mudah untuk diucapkan oleh sesiapa sahaja dan sudah tentu orang yang mengucapkan perkara ini dengan mudahnya mendapat perhatian ramai dan keyakinan orang lain terhadapnya akan bertambah. Hakikatnya tidak semua yang berkata seperti itu benar - benar merasainya dalam jantung hati mereka. Tetapi janganlah pula kita menghukum orang yang benar - benar ikhlas di jalan Allah sebagai sesuatu yang salah. Cuma dari awal lagi saya nyatakan keikhlasan itu selalunya tidak perlu dizahirkan meskipun menzahirkannya tidak salah sesuai pada waktu dan keadaannya. Siapa pun kita dan di mana mereka bukan kita penilai tetapi sesuatu yang baik itu selalu menarik yang baik jua. Kerana dalam hakikat kitab yang diturunkan LELAKI YANG BAIK UNTUK WANITA YANG BAIK PULA yang boleh secara amnya kita sifatkan (sesuatu yang baik untuk yang baik jua) meskipun penurunan ayat itu khusus mengenai lelaki dan wanita.



Adapun dalam diri manusia yang penuh dengan kesilapan dan kelemahan sentiasa bertemankan dosa dan noda yang sering mendampingi hidup manusia yang cintakan kebaikan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya di setiap kepala jalan akan ada syaitan - syaitan yang menyeru supaya mengikut jalan tersebut. Syaitan tersebut berkempen atas nama Allah dan Rasul supaya orang yang mengikuti jalan tersebut menjadi  ramai dan semakin ramai. Pemimpin jalan tersebut akan digoda lalu akhirnya tanpa iman dan bantuan Allah, maka akan tumbang dalam lembah kesombongan, takabbur, bangga diri dan akhir sekali mengakui segala yang berlaku disebabkan usahanya sendiri. Bermulanya dari detik ini, manusia mula luntur dengan lurah dan onak cabaran kehidupan yang semakin menggugat keyakinan diri. Permusuhan mula berlaku dan andai itu kesudahannya akan pasti ada yang terpaksa berkorban dan terkorban. ITU LUMRAH ALAM.

Sebagai manusia biasa.. 
Dan memang kita manusia biasa, tetapi jangan ulang kesilapan yang juga biasa. Andai maut pemisah kehidupan, biarkan maaf penyambung hubungan kerana semua orang berhak bahagia, cuma caranya berbeza.

Wednesday, 1 May 2013

LaNGkAH YaNg SeMaKiN PeRLaHaN

Salam bahagia dan rahmat daripada Ilahi sebagai penguasa dan pemilik seluruh alam ini. Barangkali sudah lama tidak meninggalkan bekas dan jejak pena dalam lingkungan maya sebagai tatapan buat pembaca yang mendambakan ilmu dan perkongsian pengalaman. Semoga coretan ini menjadi saksi dan bukti tertegaknya iman dan paksa taqwa dalam diri pada hari ini dan hari mendatang, sehingga akhirnya kita semua dikumpulkan di suatu tempat yang terakhir untuk kita singgahi kelak. Walaupun bekas pena ini tidak dapat dinukilkan seindah sebuah Al-Quran yang diturunkan, bahkan memang tidak mampu untuk menulis seindah kalam Ilahi, tetapi dalam masa yang sama dapat diabadikan menjadi penguat diri dalam menembuh sebuah alam yang semakin takut untuk manusia - manusia yang baik untuk terus tinggal di dalamnya.



Ayunan pena yang semakin berkurang dan malap dalam meniti saban malam dan dinihari menunjukkan betapa langkah kita kadang kala kuat dan gagah pada sesuatu ketika tetapi tidak dapat kita nafikan ada kalanya langkah yang selalu kita ayunkan itu menjadi sebuah LANGKAH YANG SEMAKIN PERLAHAN. Umur kita sering berjalan tanpa henti dan setiap perjalanan itu membawa kita melangkah ke suatu tahap yang dinamakan ujian dalam kehidupan. Sudah tentu ujian itu tidak datang dalam satu warna sahaja tetapi lengkap dengan pelbagai ton dan warnanya juga, sama ada pekat mahu pun cair dan cerah. Semuanya itu jalan dan aturan alam yang mesti kita tempuhi dan sudah tentu yang mengaturnya itu lagi hebat daripada yang diaturnya.

Semakin bertambah usia kita, semakin lemahlah segala fungsi badan kita. Oleh itu yang tinggal hanyalah fungsi jiwa dan nurani kita. Jika kedua - duanya lemah maka hilanglah upaya kita sebagai khalifah di dunia ini. Pesan seorang guru, manusia itu tujuan penciptaannya untuk beribadah dan menjadi khalifah. Jika hilang salah satu maka dia sebenarnya belum lagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Sebahagian orang menumpukan ibadat khusus dek kerana takutnya akan dosa dan pahala yang dipikul olehnya. Ramai orang pula sibuk memikul dan mengusahakan tanggungjawab khalifahnya tanpa mempedulikan nilai ibadah dan hubungannya dengan Tuhan yang menciptakan dia. Maka rugilah kedua - dua mereka sedangkan tanggungjawab sebagai khalifah itu juga ibadah, dan ibadah khusus itu juga ibadah untuk mendekatkan diri kita pada yang telah sedia dekat tetapi sering kali kita yang menjauhkan diri daripada-Nya.



Andai kata suatu hari nanti kita terpaksa memilih jalan yang lurus dan berliku. Sudah tentu ramai yang akan memilih jalan lurus yang mudah laluannya berbanding jalan berliku yang sukar sepanjang perjalanannya. Walaupun lurus mahu pun berliku, jika niatnya tetap satu dan sama tujuannya, tidak mengapa jika kita berbeza dengan mereka, kerana diri kitalah yang MENAMBAHKAN SEBAHAGIAN WARNA yang telah mereka ada. Dan sesungguhnya itulah yang akan membuatkan orang mengenali kita meskipun kita tidak memintanya. 

Saturday, 15 December 2012

Di MaNa DIA Di HaTiKu

Salam buat semua pembaca sama ada yang membaca dengan keadaan yang tenang atau pun membaca dengan keadaan yang tertekan. Hari ini ingin saya coretkan sedikit kata yang amat terkesan di hati selama ini hasil daripada mendengar satu ceramah yang saya sifatkan amat luar biasa dalam mentakrifkan maksud kata SIAPA DIA DI HATIKU. Kalimah atau perkataan yang lebih penting ialah bukan siapa, dia, di atau pun hatiku, tetapi jauh lebih penting ialah kata DIA yang ingin digambarkan di sini. Bagaimana kita merujuk kata DIA hampir setiap masa dalam kehidupan kita bahkan keseluruhan hidup kita. Persoalannya siapakh dia?

DIA - ALLAHHURABBI
DIA - Mak dan Ayah
DIA - Isteri / Calon Isteri
DIA - Sahabat baik



Keseluruhan erti kata DIA di atas memainkan peranan yang cukup besar malah cukup luas dalam hidup kita seharian. Kita di sini menuju dan memerlukan DIA (ALLAH) dalam kehidupan seharian tidak kira sama ada di saats enang mahu pun gembira apatah lagi di kala diri diselubungi rasa sedih, kecewa dan gelisah. Adapun DIA yang kedua ialah mengungkap tentang persoalan kasih ibu dan ayah yang selalu kita kenangkan sebagi insan yang menjadi penyelamat kita setiap masa. Akan tetapi masa dan hari telah berlalu dan bersilih ganti dan kita pun merasakan kita semakin kurang memerlukan mereka kerana dik hidup yang jauh daripada mereka dan mempunyai kawan dan teman sebagai pelengkap untuk memenuhi kehidupan yang jauh daripada mereka. Tetapi satu perkara yang perlu kita ingati ialah kasih mereka tidak pernah kurang dan bertepi.

Kalimah dan pengertian DIA (Isteri dan sahabat baik) akan diulas di lain entry.

Monday, 10 December 2012

APaBiLA HaTi SeMaKiN RaPuH

Apabila hati semakin rapuh, hanya masalah yang menjadi hidangan di depan mata. Segala perkara yang mudah pun menjadi sukar dan hidup ini terasa sempit dengan banyaknya masalah yang bertimpa - timpa. Apabila hati semakin rapuh menjadikan diri kita hilang pertimbangan dan kurang keyakinan kepada hakikat kehidupan ini. Isu yang remeh pun boleh menjadi besar dan sengaja diperbesarkan untuk menjadi tatapan antara dua mata seorang insan. Dirinya terasa sangat lemah dan seperti tidak berdaya melakukan apa jua pun. Itulah yang berlaku apabila hati semakin rapuh. Isu ini bukanlah menjadi luar biasa bagi seorang manusia  yang berdepan dengan pelbagai corak dan onak kehidupan yang selalunya berliku dan ditaburi duri yang tajam. Tujuannya bukan untuk mencederakan, tetapi untuk menjadi penghalang dan cabaran sebelum menempuhi nikmat kebahagiaan.



Apabila hati kita semakin rapuh, pendirian kita menjadi goyah. Kata - kata kita akan selalu berubah, dan keputusan kita juga akan berubah. Tetapi perubahan itu hanya seketika untuk menunggu diri kita kembali seperti sediakala. Perlu diingat apabila hati kita mula untuk merapuh dan semakin merapuh, kita sebenarnya memerlukan seseorang sebagai teman untuk menguatkan kembali dahan fikiran dan keputusan yang telah kita buat sebelum ini. Teman yang baik ialah teman yang dapat memberikan dorongan ketika kita berada dalam keadaan yang serba - salah dan seperti kita berada dalam kehidupan yang penuh dengan kebuntuan. Hidup ini selalunya indah tetapi bukan sepanjang masa kita merasai keindahan itu. Kadang kala hidup ini perlu disulamkan dengan sedikit derita supaya kita menjadi insan yang lebih kuat pada masa hadapan.

Akhir kata bandingkan pengalaman kita dahulu dengan sekarang. Kata orang, jika kita tidak pernah jatuh semasa belajar menaiki basikal dan motorsikal, maka kita tidak akan pandai dan mahir menunggangnya. Salam perjuangan dan ketabahan buat semua.