[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday 23 September 2012

PeSan DiRi PaDa HaTi

Dalam keletihan dan kepayahan dalam melalui hari yang mendatang, aku ditemani dengan pelbagai peristiwa yang menyentuh hati sama ada bersifat membina semangat, tak kurang juga dengan peristiwa yang mengguris perasaan. Aku bagaikan dipukul oleh kehidupan yang sememangnya kejam dan sungguh hilang nilai perikemanusiaan kerana hidupku ini dikatakan telah berada di penghujung akhir zaman. Namun apalah daya ku melainkan berusaha untuk membina iman dan menjaga Islam, setidak - tidaknya jika aku gagal menjaga dua perkara ini dalam diri kawan - kawanku, janganlah kedua perkara ini hilang dalam diriku untuk membuat pertimbangan dan kewarasan akal yang ada diharap dapat membantu menjadikan diriku semakin benar dan adil dalam membuat penilaian.



Setelah hampir dua tahun penuh berada di pengajian peringkat universiti, aku disajikan dengan pelbagai masalah yang menghimpit golongan muda yang digelar mahasiswa yang bakal menggantikan pemimpin dan golongan profesional yang ada kini. Daripada masalah gejala sosial, politik, salah faham tentang agama, sehinggalah kepada kehidupan termasuk hubungan antara rakan taulan, masalah kewangan, masalah keluarga dan tidak kurang juga yang menghidangkan aku dengan masalah hubungan cinta antara insan. Jujur aku akui, aku juga tidak terlepas daripada salah satu masalah yang disebutkan di atas. Namun itu semua tidak penting untuk kita ungkapkan kerana kematangan dan kebijaksanaan dalam menguruskan masalah berlandaskan ilmu yang jitu kepada Allah berteraskan Islam dan Iman tentu sahaja membantu diriku dan anda semua menyelesaikan perkara tersebut. Menolak kepada bicara kosong tanpa henti, aku titipkan sedikit pesan supaya menjadi manfaat setidaknya kepada yang memahami.



Rakan seperjuanganku, andai kau terjebak dengan masalah sosial, ketahuilah bahawa keluarga sama sekali tidak pernah terlintas dalam fikirannya ingin mempunyai kamu sebagai ahlinya. Ibu kamu pastinya tidak pernah mengharapkan engkau menjadi sedemikian rupa kerana baginya kau adalah permata hati meskipun buruk tingkah dan bicaramu, dia tetap menyokong dan percaya sesungguhnya kau boleh berubah. Andai ini pilihanmu, ketahuilah bahawasanya engkau akan mewarisi keluargamu yang penuh dengan kebebasan tanpa had. Jangan pula kau berasa marah jika perkara yang sama berlaku dan menimpa keluarga yang akan kau bina kelak. Kawanku, aku mengakui bahawa kita telah berada di menara gading, fikiran dan pandangan kita telah beralih dan berubah menjadi lebih bernas dan kritis. Tetapi ini tidak bermaksud kau boleh menumpukan agenda politik sebagai agenda kehidupanmu kerana percaya atau tidak matlamat politik hanya satu iaitu kemenangan. Bukan diri ini membenci penglibatanmu kepada politik, jauh sekali menghukum orang politik sebagai yang orang yang merosakkan masyarakat. Tetapi pesanku agar penglibatanmu tidak menjejaskan matlamat asalmu yang telah kau ikrarkan kepada ibu dan bapamu. Taat mu dari dahulu sehingga kini masih lagi untuk ibu bapamu. Andai kau dustakan dan kau cemari dengan tanpa kawalan itu, ku bimbang tempatmu menuju kehinaan kerana redha ibu bapamu itulah redha Tuhan yang menciptakan dirimu. Meskipun kau merasa dirimu telah bersedia dan tetap pendirian, ketahuilah bahawa kau sebenarnya mengecewakan kedua ibu bapamu yang diam memerhatikan tingkah dan gerak lakumu tetapi ini tidak bermakna kau lebih bijak daripada mereka atau mereka keduanya lebih bodoh daripadamu. Ingat dan yakinlah bahawa setinggi mana kau belajar, ibu dan bapamu tetap lebih tinggi dan luas pandangannya kerana pengalaman kehidupan yang mengajar mereka jauh daripada kau sedari.