[SALAM PERKENALAN PENA]


Saturday 15 December 2012

Di MaNa DIA Di HaTiKu

Salam buat semua pembaca sama ada yang membaca dengan keadaan yang tenang atau pun membaca dengan keadaan yang tertekan. Hari ini ingin saya coretkan sedikit kata yang amat terkesan di hati selama ini hasil daripada mendengar satu ceramah yang saya sifatkan amat luar biasa dalam mentakrifkan maksud kata SIAPA DIA DI HATIKU. Kalimah atau perkataan yang lebih penting ialah bukan siapa, dia, di atau pun hatiku, tetapi jauh lebih penting ialah kata DIA yang ingin digambarkan di sini. Bagaimana kita merujuk kata DIA hampir setiap masa dalam kehidupan kita bahkan keseluruhan hidup kita. Persoalannya siapakh dia?

DIA - ALLAHHURABBI
DIA - Mak dan Ayah
DIA - Isteri / Calon Isteri
DIA - Sahabat baik



Keseluruhan erti kata DIA di atas memainkan peranan yang cukup besar malah cukup luas dalam hidup kita seharian. Kita di sini menuju dan memerlukan DIA (ALLAH) dalam kehidupan seharian tidak kira sama ada di saats enang mahu pun gembira apatah lagi di kala diri diselubungi rasa sedih, kecewa dan gelisah. Adapun DIA yang kedua ialah mengungkap tentang persoalan kasih ibu dan ayah yang selalu kita kenangkan sebagi insan yang menjadi penyelamat kita setiap masa. Akan tetapi masa dan hari telah berlalu dan bersilih ganti dan kita pun merasakan kita semakin kurang memerlukan mereka kerana dik hidup yang jauh daripada mereka dan mempunyai kawan dan teman sebagai pelengkap untuk memenuhi kehidupan yang jauh daripada mereka. Tetapi satu perkara yang perlu kita ingati ialah kasih mereka tidak pernah kurang dan bertepi.

Kalimah dan pengertian DIA (Isteri dan sahabat baik) akan diulas di lain entry.

Monday 10 December 2012

APaBiLA HaTi SeMaKiN RaPuH

Apabila hati semakin rapuh, hanya masalah yang menjadi hidangan di depan mata. Segala perkara yang mudah pun menjadi sukar dan hidup ini terasa sempit dengan banyaknya masalah yang bertimpa - timpa. Apabila hati semakin rapuh menjadikan diri kita hilang pertimbangan dan kurang keyakinan kepada hakikat kehidupan ini. Isu yang remeh pun boleh menjadi besar dan sengaja diperbesarkan untuk menjadi tatapan antara dua mata seorang insan. Dirinya terasa sangat lemah dan seperti tidak berdaya melakukan apa jua pun. Itulah yang berlaku apabila hati semakin rapuh. Isu ini bukanlah menjadi luar biasa bagi seorang manusia  yang berdepan dengan pelbagai corak dan onak kehidupan yang selalunya berliku dan ditaburi duri yang tajam. Tujuannya bukan untuk mencederakan, tetapi untuk menjadi penghalang dan cabaran sebelum menempuhi nikmat kebahagiaan.



Apabila hati kita semakin rapuh, pendirian kita menjadi goyah. Kata - kata kita akan selalu berubah, dan keputusan kita juga akan berubah. Tetapi perubahan itu hanya seketika untuk menunggu diri kita kembali seperti sediakala. Perlu diingat apabila hati kita mula untuk merapuh dan semakin merapuh, kita sebenarnya memerlukan seseorang sebagai teman untuk menguatkan kembali dahan fikiran dan keputusan yang telah kita buat sebelum ini. Teman yang baik ialah teman yang dapat memberikan dorongan ketika kita berada dalam keadaan yang serba - salah dan seperti kita berada dalam kehidupan yang penuh dengan kebuntuan. Hidup ini selalunya indah tetapi bukan sepanjang masa kita merasai keindahan itu. Kadang kala hidup ini perlu disulamkan dengan sedikit derita supaya kita menjadi insan yang lebih kuat pada masa hadapan.

Akhir kata bandingkan pengalaman kita dahulu dengan sekarang. Kata orang, jika kita tidak pernah jatuh semasa belajar menaiki basikal dan motorsikal, maka kita tidak akan pandai dan mahir menunggangnya. Salam perjuangan dan ketabahan buat semua.


Thursday 6 December 2012

APaBiLa KiTa DiSoAL?

Assalamualaikum buat semua teman dalam alam maya yang dengannya boleh menyebarkan kebaikan dan dengannya juga boleh mendatangkan mudarat. Sesungguhnya mudarat itu lebih dekat kepada semua manusia kecuali mereka yang mempunyai hati yang ikhlas dan takutkan Allah. Ruangan hari ini akan membahaskan mengenai persoalan demi persoalan yang akan diajukan kepada kita di dunia ini sehinggalah ke akhirat nanti InsyALLAH. Namun sebelum menjawab persoalan itu berdasarkan pandangan peribadi penulis, perlulah kita melihat isu ini secara keseluruhannya dahulu.

Persoalan merupakan lontaran pertanyaan yang diajukan oleh seseorang kepada kita disebabkan oleh kekeliruan, ketidakfahaman, kurang kejelasan dan percanggahan pendapat. Persoalan diajukan bertujuan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci untuk mengetahui maksud sebenar orang yang mengeluarkan kenyataan. Sebaliknya terdapat juga persoalan yang kurang senang untuk kita jawab disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan kita, atau pun tindakan dan gaya penyoal yang seolah - olah sengaja mempermainkan pengetahuan kita yang terbatas ini. Namun begitu, abaikan sikap penyoal yang kedua, dan berdoalah supaya kita tidak tergolong dalam golongan tersebut kerana Allah tidak suka kepada orang yang membangga diri dan menunjuk - nunjuk kelebihan diri kepada orang lain. Bukankah lebih baik jika kita berkongsi nikmat pemberian itu? 



Apabila kita disoal hendaklah kita bersangka baik terlebih dahulu. Jawab mengikut kemampuan diri berdasarkan pengetahuan yang ada. Sebab itulah perlunya membaca dengan banyak, tujuannya bukan untuk memudahkan diri kita menjawab soalan, tetapi menambahkan ilmu pengetahuan. Kedua, kita mestilah yakin dalam memberikan jawapan terutama yang melibatkan soalan yang berbentuk pendapat peribadi kita. Janganlah takut untuk membuat salah, kerana semua orang belajar daripada kesilapan. Ketiga, sedarilah bahawa diri kita akan disoal sebaik sahaja dikafankan dan disemadikan di tanah perkuburan kelak. Jika kita tidak mampu menjawab persoalan manusia, apatah lagi persoalan malaikat utusan Allah itu kelak. Terakhir sekali hendaklah kita mengerti dan sedari bahawa semua amalan kita akan dibentangkan di hadapan Allah di akhirat kelak dan akan dipersoal satu per satu. 

Di saat itu nanti adakah kita mampu menjawabnya? Saya tinggalkan persoalan itu sebagai renungan buat kita bersama. Kita ini makhluk yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan di dunia ini. Maka berhati - hatilah dalam kehidupan ini kerana kematian bakal menunggu dan menghampiri semakin dekat setiap hari. Setiap yang hidup pasti akan merasai mati, semua orang inginkan kebahagiaan dan ketahuilah bahawa kebahagiaan sebenar ialah di AKHIRAT.


Monday 3 December 2012

BeRMuLaNyA HaRi YaNg BaRu

Salam buat semuanya. Semoga terus berada dalam rahmat dan lindungan Allah. Kita ini hadir sebagai seorang makhluk yang lemah dan serba kekurangan di dunia yang sementara ini, kita hanya mampu mengharapkan belas ihsan dan hidayah yang indah datang daripada pencipta kita iaitu ALLAH S.W.T

Apabila kita melangkah dan melalui hari - hari yang mendatang, kadang kala kita terasa seperti hari itu berlalu dengan begitu pantas. Kadang kala ada juga kita terasa bahawa perjalanan hari itu sangat panjang bagi kita. Persoalannya mengapa perkara itu berlaku? Hanya Allah sahaja yang mengetahui hikmah disebalik rasa yang telah diberi itu. Tetapi sebenarnya saya mengandaikan bahawa terjadinya hal yang seperti itu adalah disebabkan PERASAAN KITA DALAM MENEMPUHI SEPANJANG PERJALANAN HARI TERSEBUT. Kadang kala jika sesuatu yang berlaku pada hari tersebut sangat menggembirakan kita dan kita suka dengan situasi tersebut kita akan merasakan perjalanan masa pada hari tersebut sangat singkat. Belum pun sempat kita merasai kepuasan dalam kegembiraan, telah pun hlang dan tamatnya hari tersebut dan digantikan dengan keesokkan harinya, sedangkan kita tidak pun tahu bahawa hari esok adakah seindah semalam atau lebih baik daripada semalam atau pun sebenarnya lebih buruk daripada semalam.



Di saat kita melalui fasa kesedihan dan masalah yang membelenggu diri, kita terasa seakan - akan dunia ini bergerak dengan perlahannya. Kita akan terasa dan dan mungkin patah hati mengenangkan nasib di sepanjang hari tersebut. Bukanlah bermaksud kita membenci datangnya hari itu tetapi mungkin kerana kita terlalu letih dan seakan - akan tidak berdaya menempuhi cabaran yang menjelang tiba tidak putus - putus. Hanya insan yang kuat akan diberikan cabaran yang kuat pula. Tetapi kita tidak percaya hakikat ini, kadang kala kita terasa kita sudah tidak berdaya lagi untuk melangkah. Kita perhatikan nasib orang lain yang mungkin pada sangkaan kita lebih indah dan menarik berbanding dengan hari - hari yang telah kita tempuhi. Ketahuilah semuanya itu hanyalah sangkaan kita semata - mata. Kita bukanlah orang yang layak untuk menilai sama ada orang lain lebih baik harinya berbanding kita atau sebaliknya, sedangkan Allah telah menjanjikan bahawa KESUDAHAN YANG BAIK ADALAH BAGI ORANG - ORANG YANG BERIMAN.
Di siang hari kita mungkin melihat seseorang itu tertawa lebar dan siapa tahu pada malam harinya dia adalah insan yang paling berduka dan menangis antara manusia lainnya. Kita tidak mampu menjangkakan perjalanan hidup seseorang insan dalam melalui hari - harinya kerana KITA BUKAN TUHAN YANG MEMILIKI ALAM INI. Andaian kita selalu meleset biarpun kita mungkin antara yang bijak dan cerdik dalam kalangan sahabat - sahabat kita. Sedangkan tanah yang ada di bumi pun mempunyai banyak warna dan jenisnya walaupun semuanya adalah di bumi letaknya. Inikan pula manusia yang mempunyai fikiran dan naluri yang berbeza - beza antara satu sama lain. Sabar dalam meniti perjalanan hidup ini kerana hakikatnya memang hidup ini tidak akan berlaku seperti yang dirancang 100%, tetapi andai kita teliti semula, akan kita sedari bahawa perancangan Allah itulah yang terbaik buat hamba - hamba-Nya. Cuma kita yang tidak sedar akan perkara ini.



Marilah kita renungkan semula bagaimana sikap kita seawal bangun pagi dalam mensyukuri nikmat pemberian Allah untuk kita melalui hari - hari yang baru. Setiap hari kita dikurniakan dengan hari - hari yang baru dan sering kali kita abaikan kedatangannya. Apabila kita dikurniakan dengan hari yang baru, maka akan bermulalah perjalanan hidup kita yang baru. Maka bersyukurlah dan marilah merancang kehidupan kita dan berusaha untuk menepati perancangan itu. Jika yang berlaku adalah sama dengan perancangan kita, ini bermakna perancangan kita adalah tepat dan mendapat keredhaan Allah, tetapi jika sebaliknya berlaku, ini bermakna perancangan kita memerlukan sedikit penyesuaian dengan perancangan Allah dan berbanggalah kerana ALLAH MEMBANTU KITA MERANCANG dengan tidak membiarkan kita hidup keseorangan di dunia ini.

Sunday 2 December 2012

LaYaR DaKWaH SeNtiaSa TeRCaBaR

Salam seawal pagi buat semua. Pagi ini kembali menyambung penulisan yang sedikit, mudah - mudahan memberi makna yang besar buat diri ini dan pembaca semuanya. Entah mengapa sukar pula melelapkan mata. Sukar juga untuk menyambung semula melakukan tugasan yang diamanahkan oleh pensyarah universiti ini. Mungkin disebabkan faktor kesihatan yang sedikit menganggu konsentrasi dan fokus untuk membuat kerja pada hari ini. Bertemankan keheningan pagi dengan hanya mendengar detikan jarum saat pada jam dinding membuatkan diri ini tersedar tentang masa yang terus beredar tanpa mempedulikan sama ada manusia dan makhluk yang lain sedang berhenti melakukan sesuatu urusan atau pun sebaliknya.



Masa akan terus berlalu sedangkan kita akan terus alpa dan lalai sekiranya tidak berusaha untuk menjaga urusan kita. Urusan yang paling utama ialah dengan pencipta kita ALLAHURABBI. Dalam hidup ini, kita disajikan dengan pelbagai ragam manusia dan kita sendiri mempunyai cara tertentu untuk menghadapi hari - hari yang mendatang. Bukan senang sebenarnya untuk meneruskan perjalanan hidup ini jika kita hanya mengikut trend dan perlakuan seseorang tanpa ada tujuan dan matlamat sebenar. Hidup sebagai seorang manusia yang memegang Islam sebagai teras kehidupan akan membuatkan diri kita berfikir dan merenung semula peribadi diri. Hal ini akan membawa kita untuk menginsafi diri dan akan berasa malu kepada Allah di atas setiap perbuatan yang telah kita lakukan. Dalam hati hanya mahukan kebenaran dan keadilan yang tertegak di bumi Allah ini, tetapi apakan daya banyaknya ruang maksiat dan kemungkaran yang ada telah mencemarkan jati diri orang Islam dan mudah untuk melakukan perkara dosa dan maksiat. Sememangnya kita makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Hanya kepada Allah tempat kita memohon bantuan.



Hidup sebagai seorang insan yang mengamalkan ajaran Islam dan Sunnah Nabi Muhammad S.A.W memerlukan kita untuk berdakwah supaya kebenaran tertegak atas kalimah LAILAHAILLALLAH. Jika terdapat sahabat handai dan teman taulan yang melakukan kemungkaran, kita akan bertindak untuk menegur. Begitu juga di kalangan keluarga kita yang melakukan kesalahan yang kadang kala tidak mereka sengajakan. Jalan dakwah selalu teruji dengan tindak balas negatif daripada manusia yang didakwah, dan ini merupakan perkara yang biasa berlaku. Jangan berputus asa biarkan kadang kala boleh menjejaskan hubungan persahabatan dan kekeluargaan yang dahulunya erat tetapi sedikit renggang. Jika perkara ini berlaku, carilah ruang damai dan berilah tempoh masa supaya dengan masa yang ada dapat mengubat luka yang berdarah. LAYAR DAKWAH SENTIASA TERCABAR dengan tingkah laku manusia yang sukar untuk menerima kesalahan diri. Kita juga mungkin tergolong sebahagian daripada mereka. NAUZUBILLAH!



Apa yang penting ialah bina semula kekuatan yang ada. Bukan cabaran yang harus kita nilai, tetapi sejauh mana dan sebanyak mana usaha kita untuk menempuh cabaran itu. Luaskan pandangan, positifkan fikiran dan lapangkan dada dalam menerima setiap perkara yang berlaku. Pendakwah mestilah kuat dan tidak boleh berada dalam keadaan lemah biarpun dihunuskan senjata yang amat pedih dan menikam perasaan. Sabar itu sebahagian daripada iman. Ingat dihati sentiasa, jika laluan untuk memiliki Islam dan meningkatkan iman itu mudah buat semua manusia, maka tiadalah cabaran yang dihadapi oleh pendakwah untuk menyegarkan kembali dan menegakkan ajaran Islam. Dan mungkin sahaja pendakwah juga tidak diperlukan lagi, kerana semua orang patuh dan tegak berdiri pada ajaran Islam dan memiliki kekuatan Iman. Maafkan mereka yang menentang dakwahmu kerana dirimu jua pasti melakukan kesalahan seperti mereka dahulu. 

Sesuatu yang paling penting tetapi selalu dilupakan pendakwah ialah mereka mencari kejayaan dalam menyampaikan dakwah tetapi sering tewas dan gagal untuk melaksanakan dan mengamalkan setiap ajaran yang telah mereka sampaikan itu. Sekadar renungan buat kita bersama. Semoga ada manfaat dan BEROLEH KEBERKATAN DARIPADA ALLAH.

CaRa AkU MeNaBuR RiNDu

Salam buat semua yang membaca entry kali ini. Telah lama tidak mencoretkan nukilan dan warkah dari hati dalam ruangan ini. Masih sibuk dengan kegiatan dan tugasan universiti di samping cuba menjinakkan diri dalam bidang penulisan. Hasrat dihati ingin menulis sebuah buku sebagai panduan perjalanan hidup. Semoga dapat memberi manfaat buat semua kelak. Hari ini rasa terpanggil untuk menulis setelah membaca status FB seorang adik atau junior di satu sekolah yang sama dahulu. Rasanya dia pun seperti remaja lain yang sedang berada di fasa paling mencabar dalam hidup iaitu menuju cabaran untuk menjalinkan perhubungan  dengan bakal pasangan pilihan hatinya untuk meniti ke alam perkahwinan kelak. Tetapi berpijak di bumi yang nyata, mungkin keadaannya sebagai seorang pelajar sekarang tidak membenarkan situasi itu berlaku, walaupun menurut hukum tidaklah HARAM dan tidak pula salah menurut ADAT tetapi agak kurang sesuai dengan kapasitinya sebagai seorang pelajar dan umur yang begitu muda jika dibandingkan persiapan diri menuju alam berkenaan.

Tajuk entry kali ini ialah CARA AKU MENABUR RINDU. Di samping mempersiapkan diri dengan tuntutan rohani dan lahiriah seperti meningkatkan ilmu dan amalan agama termasuk menguasai hukum hakam yang asas seperti fiqh dan sedikit pengetahuan berkenaan tauhid dan akidah. Kita juga perlu mengamalkan setiap perkara yang telah dipelajari. Hal ini tidak pula menyebabkan kita mengabaikan tuntutan lahiriah dalam mempersiapkan diri iaitu speri kemahiran asas memasak, mengemas, menguruskan keluarga termasuklah penyediaan bajet, kenderaan dan keperluan lain seperti wang simpanan yang difikirkan perlu. Namun itu bukanlah fokus utama dalam penulisan kali ini. Nukilan pada hari ini akan memberikan beberapa cadangan yang sesuai berdasarkan lunas agama dan patuh shari'ah bagi kita sebagai asas untuk memanifestasikan kerinduan kepada seseorang.



Pertama sekali adalah dengan membiarkan diri untuk tidak berhubungan dengan bakal pasangan dalam beberapa tempoh yang lama. Dalam pada itu perhatikan jika terdapat perubahan yang berlaku. Bukanlah bermaksud tidak berhubung menyebabkan kita atau dia beralih arah. Sebaliknya adalah untuk menguatkan rasa rindu. Jika rasa rindu telah tidak tertahan, barulah berhubungan denganya melalui FB atau emel tetapi dlm tempoh masa yang lama setelah tidak berhubung. Itu pun perbualan dan perbincangan tidak melibatkan sama sekali soal perhubungan tetapi soal tugasan, kerja atau aktiviti universiti. Jika benar dia jodoh kita kelak, mesti dia faham bahawa ketika itu kita sedang rindukannya tetapi dalam masa yang sama kita mempunyai jati diri dan nilai untuk melindungkan hasrat diri yang sebenar. Sebab apa? Sebab kita MASIH BELUM HALAL. Jika kita sedar yang kita masih belum halal, maka tiada sebarang perbincangan mengenai perhubungan antara kita dan dirinya yang dibenarkan tanpa wujudnya mahram walaupun sekadar di alam maya. MENCEGAH MAKSIAT LEBIH ELOK DARIPADA MERAWAT DOSA. Bincang atau beri teguran atau nasihat mengenai tugasan atau kerja tersebut, kemudian cepat - cepat menghentikan perbualan atau chatting tersebut kerana bimbang mula-mula hajatnya lain, sampai dipertengahan lain pula jadinya.



Kedua ialah dengan cara kita tidak mempedulikan kehadirannya walaupun kita sedar dengan kehadirannya. Hal ini dapat membantu kita untuk menjaga rahsia tentang hasrat diri kita daripada diketahui oleh orang lain. Bukankah dalam Islam dianjurkan untuk MERAHSIAKAN PERTUNANGAN DAN MENGHEBAHKAN PERNIKAHAN. Inikan pula bagi yang belum bertunang, lagilah perlu untuk menjaga batas. Jika benar dia jodoh kita, pasti dia faham bahawa perbuatan kita tersebut adalah untuk menjaga kehormatan dan maruahnya daripada kata-kata sinis dan celaan orang sekelilingnya nanti. Paling penting ialah mengakui bahawa DIA BUKAN MILIK KITA TETAPI MILIK ALLAH DAN IBU BAPANYA sahaja. Selepas bernikah, barulah status dia bertambah kepada milik kita, tetapi perlu diingat bahwa dia TETAP MILIK ALLAH DAN IBU BAPANYA JUA. Jika kita sedar yang dia belum milik kita lagi, berikanlah kebebasan kepadanya untuk mempelajari asam garam kehidupan dahulu sebelum kita menjadi insan yang mempengaruhi tindakannya dalam membuat keputusan di kemudian hari. Dari sinilah kita dapat uji kematangannya dan dapat lihat sikapnya yang sebenar. Jika baik, ALHAMDULILLAH. Jika tidak baik, bantu dia untuk jadi lebih baik dalam masa yang sama kita pun perbaiki diri.

Ketiga, dapatkan berita dan perkembangan semasa Si Dia daripada teman akrabnya tanpa pengetahuan dia. Tetapi dalam masa yang sama jangan menunjuk sangat. Pandai-pandailah untuk mengawal keadaan supaya dapat mengelakkan fitnah. Hal ini akan menyebabkan dia tidak berasa kekok kerana baginya mungkin kita tidak memerhatikannya. Ya benar! kita memang tidak memerhatikannya, tetapi mengambil bantuan daripada sahabat akrabnya untuk menjadi mata dan telinga kita. Dalam masa yang sama panjatkan doa yang berterusan dan luahkan segala isi hati kepada Allah bahawa kita rindu padanya dan meminta supaya dibukakan jalan yang halal antara kita dengannya dan dijauhkan jalan-jalan yang haram antara diri kita dengannya. Sibukkan diri kita dengan banyak aktiviti dan perkara lain, ini  akan membantu kita mengurangkan ingatan kepadanya tetapi bukanlah bermaksud melupakannya. Jangan risau tentang istilah zina mata dan hati kerana yang dikatakan zina mata dan hati itu apabila segala tindakan kita BOLEH MENGUNDANG SYAHWAT, maka itulah yang dinamakan zina kecil.

Akhir sekali, persiapkanlah diri dengan mengukuhkan kekuatan diri termasuklah dari segala aspek sama ada kesediaan sebagai ORANG YANG MEMIKUL AMANAH iaitu bertanggungjawab untuk memikul dosa dan beban kesalahannya di kemudian hari. Hal ini kerana dia adalah amanah buat kita. Di samping itu buatlah perancangan dan laksanakan dengan tindakan termasuklah cara untuk mempercepatkan hajat yang tersimpan di hati itu supaya dapat ditunaikan. Jika kita telah bersedia dengan kedua-dua aspek, bolehlah kita memilih melibatkan keluarga kita dan dia supaya menjadi pengantara untuk MENGHALALKAN apa yang diharamkan sebelum ini. Ingatlah bahawa perkahwinan itu melengkapkan sebahagian hidup seseorang insan, cuma kita perlu lengkapkan yang sebahagiannya lagi. Walaubagaimana pun, alam perkahwinan memang berbeza dengan alam sebelum berkahwin. Langit tidak selalunya cerah, kadang kala hujan turun sebelum kita sempat mengangkat kain yang dijemur. Oleh itu, bersedialah untuk menjadi insan yang CEKAL DAN TABAH kerana hanya insan seperti itulah yang mampu meneruskan langkah.



Salam Muhasabah dan Ingatan buat semua terutama diri ini. Semoga beroleh manfaat daripada perkongsian ini. Segala yang terbaik dan sempurna datang daripada ALLAH sedangkan kita sebagai makhluk hanya mampu memohon kepadanya. Jika dia memang ditetapkan untuk kita, jika dia memang jodoh kita kelak. Biarkan dia dengan caranya jika caranya itu tepat mengikut hukum, dan biarkan kita dengan cara kita jika cara kita juga tepat mengikut hukum. MATAHARI ITU JAUH, TETAPI CAHAYA DAN BAHANGNYA TETAP TERASA. Jika jodoh itu masih jauh di hadapan, kita tetap akan terasa dekat dan akan lebih dekat lagi setelah kita BERNIKAH dengannya.