[SALAM PERKENALAN PENA]


Friday 8 June 2012

ToLaK DaKu KeRaNa MaHaRMu

Hari ini aku nukilkan sedikit berkenaan kisah dan cerita seorang hamba Allah yang bergelar MUSLIMAH di mana lelaki tidak akan tertarik dengan keayuan wajahnya mahupun kelembutan tutur bicara dan tingkahnya yang manja. Sebaliknya muslimah ini menjadi tarikan seorang lelaki kerana ketegasannya dalam menjaga perhubungan dengan manusia terutama yang berlainan jantina bagi menjaga batas dalam pergaulan. Muslimah ini juga menjadi tarikan lelaki kerana sifatnya yang suka memencilkan diri daripada khalayak bukan kerana sombong atau tidak pandai bergaul tetapi kerana menjadi dirinya yang mahal dan tinggi martabatnya di sisi Islam meskipun harga maharnya murah tetapi nilai maharnya tinggi. Benar dalam Islam meletakkan sebaik - baik wanita untuk kamu nikahi bagi lelaki ialah wanita yang rendah atau murah maharnya. Tetapi mahar itu bukan pada harga semata - mata tetapi lebih daripada itu melambangkan nilai keseluruhan seorang wanita yang sentiasa didamba lelaki yang beriman. Biar pun ramai yang mempersoalkan cara dan tingkahnya tetapi tidak sama sekali dirinya berganjak dengan keputusannya untuk kekal berada pada jalan Allah. Sesungguhnya taat dia hanya untuk suaminya dan maruahnya sentiasa terbela dengan landasan dan SYARIAT IMAN DAN ISLAM.



Takdir menentukan hati muslimah ini teruji dengan kehadiran seorang lelaki yang menyentuh hatinya untuk meletakkan dan menawarkan cinta yang telah difitrahkan Ilahi. Hati wanita yang mudah terusik dan goyah itu akhirnya menerima walaupun jauh di sudut hatinya sepanjang perjalanan hari - harinya penuh rasa bersalah dan penyesalan yang menghimpit jiwa. HENDAK DITOLAK mungkin itu adalah jodohnya kelak yang benar - benar akan menjadi suaminya nanti, tetapi penerimaannya pula menimbulkan keresahan dijiwa dan gundah dalam hatinya. Jika cinta itu benar seperti yang difitrahkan oleh Ilahi mengapa pula rasa gelisah yang menghimpit jiwa? Pertanyaan ini sering ditanya dan dihentam kepada diri sendiri yang akhirnya sama ada benci dalam rela, suka dalam terpaksa, muslimah itu perlu juga membuat keputusan yang benar sama ada memilih CALON BAKAL SUAMI (Lelaki yang baru hadir dalam hidupnya) atau memilih KEKASIH HATI DUNIA DAN AKHIRAT (Allah, Tuhan yang menciptakan). Tentu sekali keadaan ini memberikan situasi yang sukar untuk dilalui oleh seorang muslimah yang juga tidak terlepas daripada godaan nafsu dan bisikan syaitan. Namun apa yang pasti pemilihan ini bukan bertujuan untuk mengguriskan hati mana - mana pihak sebaliknya untuk mewujudkan jarak. Ya "JARAK" itu "MENJAGA" bukan pada jasad juga pada "JIWA." Muslimah itu percaya demi sesungguhnya imannya sangatlah lemah dan goyah meskipun hanya KEKASIH HATI DUNIA AKHIRAT menjadi sandarannya selama ini.



Bagi bersikap lebih adil dan menjaga kesucian Islam daripada fitnah dan pandangan dengki dan hasad manusia. Muslimah ini akhirnya memilih supaya akhirnya lelaki itu boleh tenang dan tabah mengucapkan kata "TOLAK DAKU KERANA MAHARMU" Muslimah ini terpaksa membuat pengakuan yang dirinya juga tidak lepas daripada perasaan yang diciptakan Ilahi. Namun seandainya perasaan itu benar untuk ditunaikan maka jalannya mestilah halal dan bertepatan dengan syariat yang telah menetapkan betapa maharnya itu tinggi nilainya. Demi sesungguhnya muslimah itu masih lagi belajar dan berada dalam tanggungan WALINYA iaitu ayah dan ibunya sebagai orang yang membesarkannya. Bukan dirinya tidak kenal hukum Islam bahawa wujudnya NIKAH KHITBAH (GANTUNG) bagi merealisasikan tujuan lelaki untuk mengelakkan maksiat. Namun muslimah itu sedar betapa ini bukan jalan yang terbaik. Sebagai anak yang solehah, beliau turut memikirkan apakah perasaan yang dialami oleh kedua ibu bapanya apabila perkahwinan itu terjadi sedangkan masa untuk bersama kedua ibu bapa itu belum lagi puas dikecapi. Pesan terakhir muslimah kepada lelaki tersebut, Jagalah dirimu sesungguhnya jika benar niatmu itu, pinanglah daku mengikut lunas dan syariat, aku ini bukan sesiapa tanpa waliku yang berhak terhadap aku. Jagalah DIRI, HATI DAN IMAN kerana jika kau seorang lelaki yang baik, kau tidak akan membiarkan maksiat menyelubungi dirimu. Sekarang bukan masa untuk kita bersama, tetapi untuk kita belajar meningkatkan ilmu di dada agar nanti aku dan engkau tidak akan merasa penyesalan yang tidak akan sampai ke penghujungnya.



JIKA AKU YANG ENGKAU HAJATI, MAKA JAGALAH DIRI DAN PERLAKUANMU, KERANA MENURUT KALAM ILAHI, HANYA YANG BAIK SAHAJA SEPADAN UNTUK YANG BAIK.










Thursday 7 June 2012

UbAT LuKa SeORaNG InSaN

Setiap yang bergelar insan pasti melalui saat kegembiraan yang membuatkan hidup dan wajah mereka berseri - seri dan dengan keyakinan bahawa dunia ini adalah tempat mencari kebahagiaan dan mencapai kesenangan sementara menunggu kejayaan yang kekal abadi di alam akhirat kelak. Namun setiap insan juga tidak terlepas dengan peristiwa yang boleh MENGGUGAT HATI DAN PERASAAN tatkala kegembiraan itu muncul, kesedihan dan gundah gulana juga boleh datang dan pergi dalam hidup kita. Mengambil iktibar tentang kejadian alam bagaimana padi yang ditanam selalunya membuahkan hasil menjadi beras juga boleh rosak binasa menjadi hancur dan tidak boleh dimakan manusia. Begitulah hidup ini kadang kala kita diperlukan dan kadang kala kita DIBUANG KE TEPI kerana menurut peranan dan keadaan sama ada kita sesuai atau tidak untuk berada di tempat kita dijulang atau pun hanya layak untuk berada pada tempat dipijak orang. Semua yang hidup di dunia pasti mempunyai keinginan untuk berada di atas, memimpin dan sentiasa berasa senang dengan sahabat akrab dan rakan taulan. Namun sebenarnya bukan mudah untuk kita terus berada pada kedudukan dan paksi yang sama setiap masa kerana manusia itu berubah - ubah setiap masa sedangkan bumi dan matahari juga berubah pada paksinya begitu juga siang yang akhirnya bertukar malam dengan gelap gembitanya daripada keadaan yang penuh dengan hiruk pikuk kehidupan menjadi sunyi sepi seperti berada di alam perkuburan.



Insan yang mendambakan kehidupan tanpa cabaran sebenarnya insan yang tidak cukup kuat untuk melalui hari - hari yang mendatang. Sedangkan manusia itu diutus penuh dengan kemuliaan di samping terdapat juga beberapa kehinaan yang tidak dapat tidak manusia perlu mengakuinya. Hati dan perasaan manusia sering dijadikan subjek bagi seseorang individu untuk menilai persoalan akhlak dan tingkah laku sama ada baik atau buruk,  sama ada sempurna atau banyak cacat dan celanya. Walaupun hati dan perasaan tidak mendapat tempat dalam persoalan ilmu dan perbincangan akal kerana dikatakan mereka yang mengaitkan persoalan perasaan dan hati adalah mereka yang bersifat emosional dalam membuat sesuatu keputusan dan pandangan, tetapi manusia sering kali gagal dan tidak mudah melepaskan diri apabila hatinya disakiti oleh insan tertentu yang sebenarnya sengaja didatangkan oleh takdir untuk menguji tahap kemampuan seseorang untuk mengatasi dan MENGUBATI LUKA SEORANG INSAN. Dalam melalui dunia penuh batasan waktu dan perkembangan teknologi yang sering mengalpakan manusia, kita dihidangkan dengan pelbagai ragam dan tingkah laku manusia supaya kita cukup kuat dan tidak mudah terluka dek kerana perbuatan, percakapan mahupun gerak laku serta sikap yang dilakonkan oleh seseorang makhluk yang bernama manusia. Kekadang NAMA, MARUAH, HARTA, FIKIRAN, PENDAPAT, PANDANGAN, HASIL KERJA DAN KEIKHLASAN DIRI kita sering menjadi mainan orang kerana diri kita yang tidak pandai membalas keburukan dengan kejahatan. Tetapi percayalah disebalik berlakunya perkara tersebut, sebenarnya kita jauh lebih baik berbanding insan tersebut kerana kita selalu disakiti, kita jugalah yang selalu mengubati. Hebat bukan? manusia yang bergelar pesakit, manusia itu juga yang bergelar doktor untuk merawat kesakitan yang dilakukan oleh manusia lain.



Sebagai pesanan buat diri dan teman - teman yang mungkin atau sering menjadi mangsa kepada insan tertentu yang sememangnya disengajakan hadir dalam hidup kita untuk melukai hati - hati kita, percayalah bahawa dengan sesungguhnya tidak ada yang dapat mengubati diri kita melainkan dengan penawar yang ada pada diri kita sendiri dengan keizinan dan belas kasihan Allah. Jangan mengaharap kepada manusia kerana mereka akan MENSIA - SIAKAN kehidupan kita dan jangan mengaharap kepada diri sendiri semata - mata kerana sesungguhnya kita TIDAK MAMPU menguruskannya seorang diri. Perjalanan hamba kepada Pencipta-Nya masih jauh tetapi perjalanan hamba di dalam dunia ini tidaklah begitu jauh, sebaliknya yang dinilai ialah amal perbuatan yang berteraskan keimanan dan ketaqwaan. Mudah - mudahan dengan itu kita diberi kemudahan dan keringanan tugas dalam menguruskan diri sesuai dengan LANDASAN ILAHI.

Tuesday 5 June 2012

MeNYeNTuH HaTiMu

Lewat malam ini, tiba - tiba perasaan yang dulu telah ditolak ketepi buat sementara waktu kembali terusik dengan raut wajah dahulu yang kian membayangi perjalanan hari - hari ini. Sukar merasakan keindahan dalam setiap gerak dan langkah kerana tari dan rentak yang dialami kini sudah berubah sesuai dengan perubahan yang berlaku dalam realiti dunia hari ini. Bukan mudah untuk meletakkan diri pada tahap selesa untuk melakukan kebaikan tanpa terjebak dengan cara hidup kehidupan lama yang tidak begitu serius dan lebih banyak bergurau ke sana dan ke mari. Namun sebagai manusia yang lemah lagi dhaif ini, perlu untuk kita berusaha kerana matlamat dan impian itu telah kita lakarkan cuma kesungguhan mencapai matlamat itu sering dinodai oleh tindakan dan sikap yang tidak sesuai akibat hadirnya dugaan dan cabaran luaran yang semakin kuat. 



Bagi menyentuh hati orang yang beriman dan sayangkan Allah, maka perlu untuk diri kita juga meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Namun perlu diketahui dan disedarkan tujuan kita yang sebenar ialah bukan mendekatkan diri kepada Allah semata - mata untuk dipandang baik oleh insan - insan tertentu, tetapi sebaliknya insan tersebutlah yang mendorong kita untuk lebih kuat dan cekal dalam memastikan diri kita berada dalam naungan Allah buat selama - lamanya. Ya, saya akui betapa insan berubah - ubah dalam mencapai matlamat yang diletakkan sebagai penamat dalam kehidupan diri. Masing - masing insan menggunakan metod yang berbeza untuk menggapai impian, namun apa yang pasti bagaimana jalan dan cara yang ditempuh itu suci seperti sucinya matlamat yang telah kita tetapkan itu.

Semua insan mendambakn pasangan yang terbaik buat diri untuk membina keluarga yang bahagia dan sentiasa mendapat rahmat dari-Nya. Tetapi alangkah ruginya kerana banyak insan terlepas pandang kerana yang baik itu bukan mudah sebenarnya dilihat daripada luaran. Yang dimaksudkan dengan yang terbaik itu adalah sentiasa "TERSOROK" dan "TERSIMPAN" rapi walaupun tanpa pengawal peribadi. Ramai orang meneka bahawa kebaikan itu selalunya boleh dilihat daripada faktor luaran seperti pakaian, perbuatan dan percakapan, tetapi banyak insan terlupa bahawa kesemuanya itu sebenarnya boleh dibuat - buat bagi mencapai matlamat dan kepentingan peribadi. 



Asasnya sebaik - baik perkara ialah sesuatu itu kekal sama malah bertambah hebat sekiranya "TIDAK DIPERHATIKAN" oleh mana - mana individu sekalipun. Bagi memudahkan pemahaman, betapa hari ini berapa ramai yang mahu menghulur sumbangan jika tidak dilihat orang? berapa ramai yang mendoakan kebaikan rakannya tanpa diketahui oleh insan tersebut? berapa ramai yang mengambil pelajaran daripada kesilapan yang dilakukan oleh orang lain tanpa mengaibkan insan yang bersalah tersebut. Kesemuanya ini memerlukan penilaian semula buat diri yang bergelar insan supaya dapat MENYENTUH HATIMU.