[SALAM PERKENALAN PENA]


Saturday 15 June 2013

HaRGa SeBuAH HaRaPaN

Salam semuanya yang sentiasa berada dalam lindungan kebaikan dan limpahan cahaya rahmat dan petunjuk daripada Allah s.w.t. Selawat dan salam kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul junjungan seluruh alam. Seindah salam pembuka bicara supaya diri ini dan kalian semua kekal dalam lindungan kasih dan pepohan belas kasihan daripada-Nya. Sesungguhnya kita sentiasa mengharapkan bantuan daripada-Nya dalam menuju jalan dunia dan lembah akhirat. Itulah HARAPAN yang selalu digantungharapkan. Namun, adakah harapan yang tinggi ini sesuai dengan insan yang juga entah ada HARGA atau tidak disisi-Nya nanti. Itulah yang dinamakan HARGA SEBUAH HARAPAN.



Manusia punya banyak cita-cita dan impian. Sering kali semuanya itu datang daripada sebuah buku yang dinamakan perjalanan hidup yang membuatkan manusia mempunyai pelbagai hajat dan keinginan yang perlu untuk dilunaskan menurut kehendak diri, nafsu, mahupun naluri. Namun kehendak itu bukanlah kita yang tentukan sama ada selaras dengan kehendak Ilahi atau sebaliknya, kerana hanya Dia yang mengetahui untung buruk atau baik nasibnya diri kita nanti. Tetapi semua dalam kalangan kita punya harapan walaupun kita tahu  betapa sukarnya untuk memenuhi kehendak dan hajat diri kita sendiri. Kita sering kali merenung apa yang tidak kita capai tanpa berterima kasih kepada apa yang telah kita nikmati selama ini. Betapa ramai dalam kalangan kita yang merintih di hari dia dilanda kesakitan, tetapi bergembira dengan lupanya diri kepada Pencipta di kala dirinya sihat suatu ketika dahulu. Tetapi ini tidak memadamkan harapannya untuk terus meniikmati nikmat kesihatan dan inilah yang dinamakan betapa harapan ini punya harganya!



Dalam pada itu, ada juga harapan yang tidak punya harga bergantung kepada siapa dan bagaimana harapan itu dicetuskan. Kita sering juga meletakkan harapan yang hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Jika harapan kita ditunaikan, maka bergembiralah diri kita, sebaliknya jika harapan kita tidak diperkenankan maka kita akan merintih seolah-olah manusia yang tiada iman, meskipun kita dahulunya seorang yang taat dan kuat imannya suatu ketika dahulu. Hidup ini luas bagi yang menikmatinya untuk kehidupan akhirat walaupun mereka itu sedar dan mengetahui bahawa kehidupan akhirat itu lebih luas dan mendalam. Tetapi hidup ini dirasakan sempit bagi mereka yang tidak punya jiwa dan matlamat untuk kembali kepada Allah. Sesungguhnya kita ini diciptakan, jangan lupa kepada yang mencipta dan kerana kita ini hamba, seharusnya harapan seorang hamba meski kena pada larasnya dan bukan terlalu tinggi sehingga dibuai angan sedangkan tidak pula terlalu rendah sehingga disapa bayu kehinaan.




Saturday 18 May 2013

AnDai KiTa KeHiLaNGaN

Salam buat pembaca yang budiman. Dipanjatkan syukur di atas nikmat dan pemberian yang melimpah ruah dengan belas ihsan supaya diri ini terus berada dalam lindungannya. Selawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat baginda yang sama-sama berjuang mempertahankan agama Islam yang syumul ini. Setiap orang pernah merasa kehilangan dan tentu sahaja kita telah kehilangan baginda Nabi, tetapi dalam hati kita masih hidup peninggalan yang baginda tinggalkan supaya dapat kita bersama baginda di akhirat dan di syurga kelak.

Kehilangan itu mengajar kita tentang erti kecukupan dan keinsafan. Perjalanan sebagai manusia tidak membataskan kita kepada keinginan yang kita dambakan kerana didorong oleh hawa nafu dan godaan dunia yang ditaja sepenuhnya oleh syaitan dan iblis laknatullah. Dalam pada kita merentasi dan melalui kehidupan di dunia ini, kita sering kali disajikan dengan pelbagai kelazatan dunia yang indah pada pandangan mata dan nafsu tetapi ragu-ragu pada pandangan hati (dek kerana hati yang kotor) tetapi sudah tentu sahaja ianya tidak sesuai pada pandangan iman dan taqwa. Membariskan kata-kata yang penuh dengan unsur keimanan semata-mata tidak membuatkan kita mempunyai benteng yang mantap untuk menghadapi cabaran dan ujian hidup. Niat yang ikhlas juga tidak mampu menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia tanpa adanya usaha kita yang istiqamah untuk mengingati Allah sebagai Tuhan yang menciptakan kelemahan dan kelebihan yang terdapat dalam diri manusia.



Kehilangan itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Hakikatnya, Islam menggariskan beberapa perkara yang sangat menjadi kesanyangan manusia. Antaranya ialah WANITA, ANAK-ANAK, HARTA, KENDERAAN, KEBUN TANAMAN. Kesemuanya itu menggambarkan kesenangan kehidupan seseorang di dunia ini. Tetapi adakah seseorang individu yang memiliki kesemua perkara di atas akan menemui kesenangan juga di alam akhirat sana? Ianya bergantung kepada bagaimana cara dia menerima dan menggunakan perkara tersebut. Ada orang memandangnya sebagai nikmat semata-mata, tetapi sebahagian orang memandangnya sebagai ujian dalam kehidupan. Mengambil bahagian yang perlu dan dikembalikan bahagian yang lain untuk tujuan agama Islam yang syumul. Menjalankan hak manusia yang diperintahkan oleh Allah dan menjalankan hak Allah yang diperintahkan ke atas manusia.

Kehilangan juga mengajar kita erti berusaha dengan bersungguh-sungguh tanpa putus asa untuk mendapatkan perkara yang kita idamkan antaranya seperti di atas. Walaupun begitu, ramai juga yang berputus asa dalam perjalanan mencari perkara tersebut. Ada yang gembira dan ada pula yang menangis. Itu adalah perkara biasa dan sesuatu yang lumrah. Apabila kita kehilangan sesuatu, pastinya kita akan mula menghargai sesuatu yang telah kita hilang itu. Dan dalam banyak keadaan perkara tersebut telah menjadi sesuatu yang biasa dan akan dilupakan apabila kita mendapat sesuatu nikmat pemberian yang lain pula. Jikalau kehidupan ini merupakan sebuah buku ujian, biarlah kita menjadi calon yang akan menduduki ujian tersebut dengan penuh bersedia, membaca dan mengulang kaji segala pelajaran, menghafal, menyiapkan diri dengan persediaan mental, fizikal dan rohani yang mantap.

Akhir kata pesan hati kepada diri: Benar hidup di dunia ini cuma sekali, tetapi jangan kita abaikan yang rosakkan yang sekali ini. Kerana sekali ia pergi, tidak akan datang pula yang lain lagi.

Friday 17 May 2013

IkHLaSKaH DiRi INi?

Assalamualaikum dan semua. Syukur kepada Allah di atas keizinan-Nya untuk menukilkan kalam tanpa suara di cebisan potong ruang yang berbaki ini. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w sebagai pejuang yang unggal dan ikhlas dalam setiap perbuatan. Baginda tidak pernah memilih ganjaran walaupun pernah ditawarkan seperti wanita, harta dan pangkat. Tetapi baginda memilih jalan dakwah yang berliku dengan membawa suatu amanah dan tanggungjawab demi menyampaikan, menyebarkan dan menegakkan KALIMAH TAUHID di bumi ini sama ada kepada yang zahir iaitu manusia, mahu pun kepada yang ghaib iaitu dari kalangan golongan jin yang telah baginda sampaikan dakwah.



Sesungguhnya Nabi itu contoh ikutan yang terpuji dan mulia dari segi akhlak dan peribadinya. Dalam pada itu, dua ciri itu mesti tertegak dengan suatu sifat yang mudah dibicara tetapi payah untuk melaksana iaitu SIFAT IKHLAS dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Sebenarnya, terdapat beberapa cara untuk kita mengenal diri kita sama ada segala perbuatan kita benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Antaranya ialah dengan memeriksa beberapa kriteria berikut:

1) Adakah kita masih lagi ikhlas jika kita telah mengusahakan sesuatu tetapi tidak mendapat sebarang penghargaan, sebaliknya orang yang kurang berusaha pula diberikan penghargaan dan pujian.

2) Adakah kita masih mampu tersenyum dan menahan marah, apabila seseorang yang telah kita tolong dan rapat dengan kita tidak menghargai segala yang telah kita lakukan bahkan menghina dan mengeji kita. Mampukah kita?

3) Adakah kita mampu memaafkan dan melupakan segala kesalahan orang lain terhadap kita? Adakah kita bersedia mengingati segala kebaikan orang yang kita anggap musuh dan melupakan segala kejahatannya. Tahukah kita sebahagian daripada maaf itu adalah dengan melupakan segala kesalahan dia? Jika seseorang berkata "I can forgive but not to forget" Itu maksudnya dia belum memaafkan sepenuhnya.

Saya tinggalkan tiga persoalan itu untuk anda dan saya renungkan di mana letaknya diri kita ini. Sekian, semoga yang bermanfaat itu dapat kita amalkan.


Thursday 16 May 2013

YaNg LeBiH UtAMa BuKaN LaGi BeTuL aTaU SaLaH

Assalamualaikum buat seluruh makluk di alam ini. Selawat buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan sahabat baginda. Kesyukuran demi kesyukuran masih menjadi pasak hati dan diri dalam menyambut rahmat dan takdir Ilahi yang ditentukan buat kita semua. Setiap perbuatan mesti bermulakan dengan NIAT IKHLAS DAN SEMPURNA. Sekali lagi ianya mudah untuk ditulis, dibaca dan didengar tetapi memerlukan suatu titian perjalanan untuk mendidik hati. Sebab itu sering kali niat berubah apabila sampai suatu ketika dan detik tertentu. Terdapatnya pelbagai bisikan yang membuatkan niat kita sedikit menyimpang daripada apa yang kita niatkan sewaktu awal dahulu. Ketetapan telah berlaku dan telah tertulis sesuatu itu tidak hanya akan terjadi dengan niat semata - mata tanpa berbekalkan USAHA YANG ISTQAMAH kepada Allah. 



Betapa ramai dalam kalangan kita yang mengadu bahawa mempunyai niat yang ikhlas dan lurus untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati tetapi sering kali gagal dalam mencapainya. Betapa ramai pula orang yang berkata sesungguhnya aku telah melakukan pelbagai cara dan ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu yang aku hajatkan tetapi sekali lagi mereka menangis dan bersedih apabila gagal mendapatkannya. Keadaan ini sebenarnya menjelaskan kepada kita bahawa YANG LEBIH UTAMA BUKAN LAGI BETUL ATAU SALAH tetapi bagaimana niat untuk mencapai sesuatu hajat itu disulamkan dengan bekal usaha yang berterusan kerana Allah. Jika seseorang menyatakan bahawa dirinya ikhlas, kemudian dia pula diuji dengan ujian kegagalan demi kegagalan daripada apa yang dia hajatkan, kemudian dia bersedih dan menangis seperti mengungkit segala usaha yang telah dilakukan untuk menunaikan impiannya tetapi gagal. Maka timbul persoalan di sini dimanakah nilai ikhlas dan sempurna itu?



Jika kita telah usaha, kemudia diberi kegagalan lagi, maka janganlah sesekali menganggap bahawa usaha kita itu sia-sia dan salah pada tempatnya. Kerana yang lebih utama bukan lagi salah atau betul, tetapi adalah niat dan usaha kita yang telah kita laksanakan sesuai dengan impian dan hasrat kita yang telah Allah kurniakan. Siapalah diri kita ini untuk menilai sama ada perbuatan kita sendiri atau orang lain itu salah. Jika mereka salah, adakah kita dalam golongan yang benar? Apakah jaminan yang membuatkan kita mampu berkata seperti itu? Maka sudah jelaslah bahawa satu jaminan pun kita tiada untuk diperlihatkan. Niat yang sempurna hanya akan datang apabila kita bersedia menerima apa jua keputusan yang telah Allah tetapkan untuk kita. Sebab itu dalam beberapa peristiwa, nabi dilihat seakan-akan MERINTIH dan MENGADU kepada Allah tetapi tidak berdoa secara langsung untuk menyatakan hasrat dan keinginan nabi. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Bijaksana, Dia telah mengetahui apa yang ada dalam hati manusia, meskipun beribu batu kita melangkah untuk menafikannya.

Antara rintihan nabi yang banyak kali diungkapkan ialah apabila sedihnya Nabi ketika berdakwah kepada penduduk di Thaif. Malaikat Jibril menawarkan untuk menghempapkan sebuah bukit kepada golongan yang menentang nabi sebgai balasan mereka membaling batu sehingga seluruh badan Nabi berdarah, (diceritakan dari kepala ke buku lali baginda) tetapi Nabi telah menghalang Jibril dan merintih kepada Allah dalam ayat terakhir rintihan itu menyatakan "Jika Engkau Redha dan Tidak Murka kepadaku, Sesungguhnya Aku Tidak Peduli"

Tuesday 14 May 2013

DaLaM JaGa DaN LeNa

Assalamualaikum buat pembaca yang budiman. Segala puja dan puji hanya kepada Allah sebagai Tuhan yang layak disembah, bahkan memang selayaknya. Selawat dan salam buat baginda Nabi Muhammad s.a.w, keluarga serta sahabat baginda dan orang yang sama-sama menegakkan perjuangan baginda sehingga hari akhirat. Hidup ini sebuah titian perjalanan yang akan ditempuhi oleh setiap insan. Apabila tamat ruang dan jalan yang ada maka akan terhentilah kaki yang melangkah. Namun sepanjang perjalanan yang ditempuhi itu akan terdapatnya beberapa luka dan manis dalam kehidupan yang banyak mengajar kita tentang erti kesyukuran dan kesabaran. Bukan salah untuk mencuba sesuatu yang baru dan berbeza, cuma perlu kita perhatikan DALAM JAGA DAN LENA kita itu mestilah berpaksikan kebenaran dan kemuliaan yang semuanya itu datang daripada Allah sebagai Tuhan yang Maha Memberi dan Membalas.

Ramai yang hidup tetapi hakikatnya mati. Dan ramai pula dalam kalangan kita yang Islam tetapi hidup dalam Muallaf. Kita ini diberi pilihan dan pada masa yang sama mengikuti ketentuan yang telah ditetapkan. Dalam pilihan dan peluang yang terhidang itu membawa kita kepada suatu matlamat dan visi yang sama iaitu menuju dan mencari KEREDHAAN ALLAH. Sebahagian antara kita melakukan sesuatu mengharapkan pahala, tidak kurang pula yang mengharapkan supaya diselamatkan daripada api neraka. Dalam pada itu kita sering berpesan-pesan dengan pelbagai ganjaran demi ganjaran sedangkan amalan yang kita laksanakan belum tentu lagi sempurna dan diterima. Jika ditolak, bagaimana pula dengan ganjaran tersebut? Sebab itu asas yang lebih penting ialah kenal dahulu kepada dan untuk apa amalan dibuat, supaya dalam jaga dan lena dapat kita sempurnakan hak kepada yang berhak.



Sering kali kita bertanya kepada diri bagaimanakah nasib aku di akhirat kelak. Sering kali juga kita takut akan kematian dan amat cintakan keduniaan. Hidup merupakan suatu fitrah dan semua orang tidak menafikannya. Tetapi ramai yang terlupa bahawa kematian juga merupakan suaru fitrah dan aturan sunnahtullah yang telah ditetapkan. Semua yang hidup pasti akan merasai mati, dan itu adalah sesuatu yang pasti. Tetapi bagaimana kematian itu terjadi merupakan rahsia Ilahi dan semua antara kita akan mengalaminya dengan berbeza cara, tempat dan rupa meskipun namanya tetap sama. Tanyakan kepada diri kita sendiri, SUDAH BERSEDIAKAH AKU? kerana semuanya itu boleh berlaku sama ada dalam jaga dan lena. 

Sunday 12 May 2013

KeRaNa KeSaKiTaN iTu SuMBeR KeKuATaN

Assalamualaikum buat semua pembaca. Selawat dan salam buat rasul junjungan, keluarga dan sahabat baginda dan semua yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di alam ini. Rasa syukur dengan hati yang luhur dipanjatkan kepada Allah supaya hati ini berasa tenang dengan ujian dan dugaan yang diberikan oleh-Nya kepada semua makhluk yang menjadi pilihannya. Sesungguhnya makhluk yang terpilih itu akan menjadi dekat dan sangat hampir dengan-Nya lalu menguji dan membantu sesuai dengan cara yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya cara itu indah sekali.

Lewat minggu ini yang masih berbaki beberapa hari sahaja untuk menamatkan perjuangan di semester terakhir memberikan bebanan minda untuk difikirkan tentang nasib rakan-rakan seperjuangan yang satu demi satu tumbang dan rebah di medan perjuangan di tempat orang, jauh dari kampung halaman. Mereka ditimpa kesakitan demi kesakitan yang membuatkan mereka ada yang terlantar di hospital dan ada pula hanya berdiam diri menahan kesakitan kerana kekangan dan halangan peribadi yang masing-masing alami. Hanya KERANA KESAKITAN ITU SUMBER KEKUATAN membuatkan kami antara yang datang melawat tersenyum melihat sahabat yang sakit dek kerana kemampuannya yang boleh tertawa meskipun dilanda musibah yang amat teruk.



Ya, kesakitan itu adalah kekuatan kerana dengannya kita belajar erti kekuatan dan kesabaran. Sering kali dalam doa ketika tidur dan jaga, kita memohon kepada Allah supaya menganugerahkan kepada kita kekuatan dan kesabaran. Dan sesungguhnya kekuatan dan kesabaran itu hanya teruji dengan datangnya cabaran dan halangan untuk kita mengecapi impian hidup kita. Selalunya apabila kita berada dalam keadaan sakit, semua aktiviti kehidupan kita akan terhad dan terbatas, dalam waktu inilah kita mula sedar dan merasa bahawa kita telah membazirkan beberapa potong waktu dan lembaran kehidupan yang sengaja kita biarkan terpadam daripada api usaha yang mantap. Kita perjudikan masa yang ada dengan keseronokkan yang sementara sedangkan kejayaan pada masa hadapan belum lagi menjadi suatu kepastian.



Apa yang penting ialah berkorban selagi terdaya. Ambillah contoh daripada orang yang sakit, semakin banyak dan perit kesakitan yang mereka alami, semakin kuat dan cekal mereka untuk mengusahakan segala impian mereka supaya menjadi kenyataan. Berikan aku bulan supaya aku tahu betapa kuat dan pekatnya cahaya matahari. Berikan aku lautan, supaya aku hargai betapa indah dan seronoknya berada di dataran, meskipun aku selalu menyatakan yang pantai itu indah. Dalam sangkaanku pantai itu lautan, tetapi aku terlupa dan tersilap bahawa pantai itu hasil daripada percantuman dua elemen iaitu lautan dan daratan, air laut dan pepasir yang memutih.
  

Friday 3 May 2013

YaNg BeRkATa KeRaNa ALLAH & RaSuL

Salam muhasabah diri buat semua. Alhamdulillah kerana masih berkesempatan untuk menulis dengan menggunakan baki sisa dakwat pena yang semakin kering ini. Kita cuba periksa diri dan hati, emosi dan jiwa, akal dan naluri sama ada bertunjangkan Pemilik Langit dan Bumi sebagai Pemilik Mutlak bagi settiap jantung hati manusia atau hakikatnya hati kita bukan pada Sang Pencipta tetapi kepada dan untuk makhluk yang diciptakan. Oleh sebab ramai YANG BERKATA KERANA ALLAH DAN RASUL dan kekerapan itu semakin memuncak, maka izinkan pena ini menukilkan tentang hakikat diri kita yang berkata sedemikian. Seorang pun tidak lepas daripada menyatakan ayat tersebut, lebih - lebih lagi yang kelihatan "alim" dan "warak' di mata manusia. Namun bukan itu matlamatnya, kerana keikhlasan itu selalunya tidak perlu dizahirkan meskipun menzahirkannya tidak salah. Cuma selaku insan yang goyah iman dek kerana pengaruh syaitan dan nafsu dan kelemahan diri sendiri, seringkali pujian dan pandangan mata orang itu lebih kita utamakan daripada pandangan ALLAH DAN RASUL. 



Apabila seseorang itu berkata bahawa dia tidak mempunyai sebarang kepentingan, tidak bermotifkan peribadi dan perjuangan serta jalan yang ditempuhi hanya kerana Allah dan Rasul, perkara ini seakan - akan mudah untuk diucapkan oleh sesiapa sahaja dan sudah tentu orang yang mengucapkan perkara ini dengan mudahnya mendapat perhatian ramai dan keyakinan orang lain terhadapnya akan bertambah. Hakikatnya tidak semua yang berkata seperti itu benar - benar merasainya dalam jantung hati mereka. Tetapi janganlah pula kita menghukum orang yang benar - benar ikhlas di jalan Allah sebagai sesuatu yang salah. Cuma dari awal lagi saya nyatakan keikhlasan itu selalunya tidak perlu dizahirkan meskipun menzahirkannya tidak salah sesuai pada waktu dan keadaannya. Siapa pun kita dan di mana mereka bukan kita penilai tetapi sesuatu yang baik itu selalu menarik yang baik jua. Kerana dalam hakikat kitab yang diturunkan LELAKI YANG BAIK UNTUK WANITA YANG BAIK PULA yang boleh secara amnya kita sifatkan (sesuatu yang baik untuk yang baik jua) meskipun penurunan ayat itu khusus mengenai lelaki dan wanita.



Adapun dalam diri manusia yang penuh dengan kesilapan dan kelemahan sentiasa bertemankan dosa dan noda yang sering mendampingi hidup manusia yang cintakan kebaikan dan perubahan ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya di setiap kepala jalan akan ada syaitan - syaitan yang menyeru supaya mengikut jalan tersebut. Syaitan tersebut berkempen atas nama Allah dan Rasul supaya orang yang mengikuti jalan tersebut menjadi  ramai dan semakin ramai. Pemimpin jalan tersebut akan digoda lalu akhirnya tanpa iman dan bantuan Allah, maka akan tumbang dalam lembah kesombongan, takabbur, bangga diri dan akhir sekali mengakui segala yang berlaku disebabkan usahanya sendiri. Bermulanya dari detik ini, manusia mula luntur dengan lurah dan onak cabaran kehidupan yang semakin menggugat keyakinan diri. Permusuhan mula berlaku dan andai itu kesudahannya akan pasti ada yang terpaksa berkorban dan terkorban. ITU LUMRAH ALAM.

Sebagai manusia biasa.. 
Dan memang kita manusia biasa, tetapi jangan ulang kesilapan yang juga biasa. Andai maut pemisah kehidupan, biarkan maaf penyambung hubungan kerana semua orang berhak bahagia, cuma caranya berbeza.

Wednesday 1 May 2013

LaNGkAH YaNg SeMaKiN PeRLaHaN

Salam bahagia dan rahmat daripada Ilahi sebagai penguasa dan pemilik seluruh alam ini. Barangkali sudah lama tidak meninggalkan bekas dan jejak pena dalam lingkungan maya sebagai tatapan buat pembaca yang mendambakan ilmu dan perkongsian pengalaman. Semoga coretan ini menjadi saksi dan bukti tertegaknya iman dan paksa taqwa dalam diri pada hari ini dan hari mendatang, sehingga akhirnya kita semua dikumpulkan di suatu tempat yang terakhir untuk kita singgahi kelak. Walaupun bekas pena ini tidak dapat dinukilkan seindah sebuah Al-Quran yang diturunkan, bahkan memang tidak mampu untuk menulis seindah kalam Ilahi, tetapi dalam masa yang sama dapat diabadikan menjadi penguat diri dalam menembuh sebuah alam yang semakin takut untuk manusia - manusia yang baik untuk terus tinggal di dalamnya.



Ayunan pena yang semakin berkurang dan malap dalam meniti saban malam dan dinihari menunjukkan betapa langkah kita kadang kala kuat dan gagah pada sesuatu ketika tetapi tidak dapat kita nafikan ada kalanya langkah yang selalu kita ayunkan itu menjadi sebuah LANGKAH YANG SEMAKIN PERLAHAN. Umur kita sering berjalan tanpa henti dan setiap perjalanan itu membawa kita melangkah ke suatu tahap yang dinamakan ujian dalam kehidupan. Sudah tentu ujian itu tidak datang dalam satu warna sahaja tetapi lengkap dengan pelbagai ton dan warnanya juga, sama ada pekat mahu pun cair dan cerah. Semuanya itu jalan dan aturan alam yang mesti kita tempuhi dan sudah tentu yang mengaturnya itu lagi hebat daripada yang diaturnya.

Semakin bertambah usia kita, semakin lemahlah segala fungsi badan kita. Oleh itu yang tinggal hanyalah fungsi jiwa dan nurani kita. Jika kedua - duanya lemah maka hilanglah upaya kita sebagai khalifah di dunia ini. Pesan seorang guru, manusia itu tujuan penciptaannya untuk beribadah dan menjadi khalifah. Jika hilang salah satu maka dia sebenarnya belum lagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Sebahagian orang menumpukan ibadat khusus dek kerana takutnya akan dosa dan pahala yang dipikul olehnya. Ramai orang pula sibuk memikul dan mengusahakan tanggungjawab khalifahnya tanpa mempedulikan nilai ibadah dan hubungannya dengan Tuhan yang menciptakan dia. Maka rugilah kedua - dua mereka sedangkan tanggungjawab sebagai khalifah itu juga ibadah, dan ibadah khusus itu juga ibadah untuk mendekatkan diri kita pada yang telah sedia dekat tetapi sering kali kita yang menjauhkan diri daripada-Nya.



Andai kata suatu hari nanti kita terpaksa memilih jalan yang lurus dan berliku. Sudah tentu ramai yang akan memilih jalan lurus yang mudah laluannya berbanding jalan berliku yang sukar sepanjang perjalanannya. Walaupun lurus mahu pun berliku, jika niatnya tetap satu dan sama tujuannya, tidak mengapa jika kita berbeza dengan mereka, kerana diri kitalah yang MENAMBAHKAN SEBAHAGIAN WARNA yang telah mereka ada. Dan sesungguhnya itulah yang akan membuatkan orang mengenali kita meskipun kita tidak memintanya.