[SALAM PERKENALAN PENA]


Wednesday 21 September 2011

IsTiKhaRaH

Apakah jawapan kepada persoalan ku, yang pernah diajukan sebagai usaha dalam membuat pilihan. Diri ini keliru dengan ketiadaan petunjuk seperti biasa yang dianugerahkan kepada orang lain. Tetapi petunjuk sering datang dalam keadaan yang tidak disangka – sangka. Lalu menyebabkan diri ini keliru apakah jawapan yang sebenar terhadap soalan yang pernahku tanyakan dahulu.



Beratnya ujian ini, setelah diri ini membuat pilihan bersandarkan naluri yang dirasakan selama ini, tiba-tiba lain pula petunjuk yang ku terima kali ini. Ya, jawapannya tak sama seperti dulu. Adakah ini bermaksud kata pemutus kepada jawapan itu telah pasti. Kenapa semua ini terjadi di saat aku telah pun membuat pilihan? Diriku sendiri gagal untuk menjawab soalan itu, kerana ketiadaan alasan atau sebab yang pasti dan meyakinkan. Inilah yang dikatakan kuasa Ilahi, Dia memberi di saat kita benar – benar memerlukan, di saat kita telah yakin untuk membuat keputusan terhadap perjalanan masa hadapan maka saat itulah petunjuk diberikan supaya kita tidak membuat kesilapan demi kesilapan.

Persoalannya, bagaimanakah perjalanan diriku di masa hadapan? Keadaan kian berubah, apa yang telah dipilih tidak dapat diputuskan, namun apa yang telah dimuktamadkan harus dinilai semula. Keadaan ini menjanjikan aku dengan seribu persoalan dan berjuta kekeliruan. Sesungguhnya, berikanlah kepada diriku apa yang terbaik. Akan ku cuba menerimanya walaupun terasa pahit, akan ku cuba menolaknya walaupun perjalanan seterusnya mungkin lebih berliku. Doa ku semoga apa yang terjadi memberi manfaat dengan pelbagai hikmah yang menjadi rahsia Ilahi.


            
          Ya Allah,
“Jika dia untuk ku, maka dekatkanlah aku dengannya,
Semaikanlah perasaan cintaku terhadap dirinya, tumbuhkanlah perasaan cintanya terhadapku, Jadikanlah cinta ku kepadanya sebagai penguat cintaku kepada-Mu, dan jadikanlah cintanya kepada diriku menjadi pengikat cintanya terhadap-Mu.

Namun, andai sahaja dia bukan untukku, maka gantikanlah dia dengan orang yang lebih baik daripadanya. Supaya dengan itu, aku dapat terus menikmati keindahan nikmat-Mu di dunia dan sebagai hadiah buat diriku kerana kehilangannya.”

Amin... Ya Rabbal A’lamin.

Monday 19 September 2011

SyuKuR DaN SaBaR

Mudah sahaja nukilan malam ini, penulis memilih dua terma yang cukup berkait walaupun mempunyai pengertian yang cukup berbeza. Dalam menjalani kehidupan seharian, kita sebenarnya dihadapkan dengan pelbagai situasi yang akhirnya menyebabkan diri ini memilih sama ada untuk bersyukur atau bersabar. Namun ramai antara kita yang lupa dan juga alpa tentang hikmah disebalik sesuatu perkara yang berlaku. Normal bagi manusia seperti kita merasakan keadaan gembira, suka, senang hati, bahagia, dan ceria yang sebenarnya adalah disebabkan sesuatu peristiwa yang berlaku disebalik perjalanan kisah hidup kita. Apa yang pasti adalah peristiwa tersebut berlaku adalah bertepatan dengan kehendak diri kita. Ya, saya katakan kehendak diri kita BUKANNYA keperluan diri ini. Tiba-tiba hati terus teringat akan kisah sejarah Islam yang menyatakan cara terbaik untuk bersyukur dan bersabar ialah dengan berpuasa secara berselang-seli juga dikenali sebagai (Puasa Nabi Daud a.s) Menariknya berkenaan puasa ini adalah dapat mengajar diri supaya sehari merasa bersyukur atas kurnian dan nikmat Allah dan sehari merasa bersabar dengan ujian dan dugaan Allah.

“Kita sering kali bersyukur jika mendapat sesuatu yang kita hajati, sebaliknya kita bersabar jika sesuatu yang kita pohonkan tidak ditunaikan”

Namun, apa yang pasti ialah sama ada perkara yang kita hajatkan itu memenuhi keperluan kita. Kita bukanlah seorang pengurus kehidupan yang terbaik oleh itu serahkanlah segala urusan kepada-Nya dengan hati yang tekad penuh dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Dia tidak akan mengecewakan kita. Dia Maha memberi apatah lagi menganugerahkan sesuatu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Permulaan yang baik tidak semestinya berakhir juga dengan baik begitu juga dengan pengakhiran yang baik tidak selalunya bermula dengan sesuatu yang cukup sempurna. Teringat pesan seorang sahabat pena, cukup baik perubahan dirinya “from nothing to something”dan diri ini terasa bertuah kerana menjadi sebahagian antara rakannya. Kata dia, 



“Mintaklah apa yang hendak diminta, jangan kau berserah tanpa meminta, kau kata kau ikhlas, InsyAllah makbul permintaan kau” 

Cukup menenangkan hati apa yang telah dinukilkan oleh seorang sahabat yang satu ini walaupun medium nukilannya sekadar “SMS” namun tetap menjadi ingatan buat diri ini.
Dalam hati tertanya juga, apakah yang membuatkan seorang sahabat ini begitu kuat tahap keyakinannya dan tawakalnya terhadap Allah. Andaian luaran penulis terhadap seorang sahabat ini adalah dia pernah menghadapi pelbagai masalah di waktu dahulu semuanya yang berat dan menghimpit jiwa namun dia begitu redha dengan apa yang berlaku walaupun dengan caranya sendiri. Akhirnya kini dia banyak mendapat pelbagai rahmat dan nikmat yang kadang kala menyebabkan diri ini ingin sekali bertukar tempat dengannya. Dahulu diriku yang selalu menasihatinya, kini dia yang menjadi tempat penulis mengadu cerita. Terima kasih sahabat, sesungguhnya diriku tidak mempunyai harta yang bernilai untuk dibalas melainkan suatu patah kata yang tidak sehebat mana iaitu “Kau Sahabatku, Tidak Mungkin Aku Mengkhianati Dirimu.”


Moga apa yang terjadi pada hari ini menjadi ikhtibar buat kita di hari esok. 
Walaupun esok belum pasti sedangkan semalam telah berlalu pergi. Yakinlah betapa jika iman di hati InsyAllah kejayaan sentiasa mengiringi.

Wednesday 14 September 2011

aReNa BaRu

Permulaan semester baru, diam tak diam... sekejap sahaja masa berlalu, kini penulis telah pun berada di Tahun 2 dalam Pengajian Hubungan Antarabangsa di UKM Bangi ini. Pembukaan semester baru ini menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan hidup penulis seawal cuti semester yang lepas. Alhamdulillah, tertunai juga apa yang menjadi impian penulis selama hampir 5 tahun. Satu penantian yang cukup panjang, tetapi alah bisa tegar biasa, sudah pun menjadi rutin harian penulis dalam menempuh hari – hari berliku namun sering kali menjadi selamat dan tenang bersama kawan – kawan yang baik hati.

Permulaan semester baru ini diharap dapat menjanjikan sesuatu yang bermanfaat buat diri penulis. Sibuk dengan pelbagai urusan merupakan rutin utama penulis. Namun urusan yang banyak itu telah pun distrukturkan kembali supaya tidak mengganggu tujuan dan matlamat asal penulis datang ke sini seperti yang telah pun dipesan sehari – hari oleh ibu bapa penulis yang juga merupakan role model yang terbaik buat diri penulis. Tambahan pula penulis mempunyai seorang abang yang telah pun berjaya melengkapkan aspek kehidupannya seawal usia 27 tahun. Wah, adik memang “salute” la dekat abang.




Akhir kata, semoga apa yang diimpikan menjadi kenyataan, sebab itulah tidak salah untuk kita bermimpi walaupun beribu kali, selagi apa yang kita mimpikan itu tidak menjadi penyebab kepada diri kita menjadi semakin buruk dan merosot prestasinya tidak kiralah sama ada untuk manfaat di dunia apatah lagi kebahagian di akhirat. Sekian sahaja nukilan kali ini, semoga menjadi medan penulisan sepanjang hayat.