[SALAM PERKENALAN PENA]


Sunday 26 February 2012

TiNtA TaUBaT PeNgHaPuS DoSa

Assalamualaikum pembuka bicara dalam arena kedua penulisan di bulan Februari 2012 fasa kedua berada di universiti bagi tahun kedua pengajian ini. Selawat dan salam buat rasul junjungan dan syukur yang dipanjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan izin dan keampunan dosanya kepada diri ini dapat juga menukilkan warkah buat diri ini yang mengemis TINTA TAUBAT PENGHAPUS DOSA kerana mengenangkan sedikit sahaja taubat yang dilakukan jika pertaruhan dosa dijadikan ukuran. Tinta taubat disajikan buat tatapan pembaca kerana penulis yakin dan percaya betapa manusia itu sering melakukan dosa sama ada sedar atau pun tidak. Lumrah seorang makhluk sentiasa mengikut fitrahnya yang ingin memenuhi setiap kehendaknya. Disebabkan kehendak jugalah manusia sanggup melakukan apa sahaja dengan mencapai matlamatnya walaupun terpaksa menggadaikan kehidupan dan kebahagiaan dirinya sendiri. 




Tinta taubat dapat dilakukan dengan mudah tanpa kita sedari dan merasakan diri kita terpaksa melakukannya. Hal ini disebabakan hakikat segala perkara memerlukan si pelakunya faham apa yang dilakukan. Masalah kini terjadi apabila orang yang melakukan sesuatu perbuatan adalah kerana tidak memahami pengertian sesuatu perbuatan itu dilakukan. Mengambil contoh SOLAT yang kita lakukan seharian adakah memberi impak yang besar dalam kehidupan dan peribadi kita. Ya, semua antara kita ingat pada firman Allah yang menyatakan sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar. Namun menjadi persoalan sejauh mana perkara ini berlaku. Seolah - olah terdapat percanggahan antara firman Allah dengan realiti kehidupan yang berlaku kini. Kita sedar dengan hakikat bahawa seseorang yang menunaikan solat pun tidak mengawal perilakunya malah mungkin mempunyai peribadi yang lebih teruk daripada seseorang yang tidak melakukan ibadah Solat. 

Disinilah titik pertemuan dan persoalan dijawab dengan penjelasan yang mudah dan ringkas. Betapa pada hari ini kita menunaikan solat tetapi tidak menghayati maksud disebalik solat itu. Tidak cukup hanya melakukan solat tetapi tidak menjaga waktunya. Tidak cukup menunaikan solat tetapi tidak faham maksud yang dibacanya. Tidak cukup juga menunaikan solat sekiranya itu hanya menunjuk-nunjuk atau setidak-tidaknya kita bersolat kerana kawan - kawan yang lain juga turut bersolat. Ini bertentangan dengan akidah dan pembawaan solat yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w Bayangkanlah betapa syirik telah dilakukan sekiranya kita solat untuk tatapan pandangan mata kawan - kawan sahaja. Bayangkan juga betapa jahilnya kita sekiranya tidak memahami semua perbuatan dan percakapan termasuk sebutan dalam solat yang dilakukan tetapi tidak memahaminya. Natijahnya, manusia tidak merasai roh sebenar solat dan akhirnya solat yang ditunaikan tidak memberi impak kepada manusia dan keadaan ini menyebabkan keadaan seseorang itu tidak berbeza sama ada menunaikan solat atau pun tidak menunaikan solat. Perkara inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Fahami dan mengerti perjuangan nabi, nescaya kita akan renungi segenap isi Islam dan Iman yang diletakkan di hati seluruh umat manusia yang mentauhidkan Allah s.w.t


Edisi Menjelang Asar 26 Februari 2012
Penyuluh Cahaya Pena

TeGuRan ILaHi

Salam pembuka bicara dan kata - kata yang lebih indah adalah selawat dan salam kepada baginda Rasulullah s.a.w semoga dalam ruangan yang terbatas dan penuh dengan kelemahan ini menjadi wadah yang mampu memberikan manfaat buat semua termasuk penulis yang lemah lagi dhaif dengan dunia penulisan mahupun agama yang menjadi teras kehidupan seluruh manusia. 

Topik penulisan pada hari ini menelusuri tajuk yang amat istimewa yang diilhamkan oleh Allah s.w.t untuk diri ini menulis. Dengan ilham dan sedikit pengetahuan yang berbentuk pengalaman itu, penulis coretkan dalam ruangan yang berbaki ini. Mengambil nama "TeGuRan ILaHi" menyelidik hati bagaimanakah sebenarnya kita alpa dan leka dengan teguran Ilahi yang datang dalam pelbagai perkara dan bentuk. Sebagai contoh penulis sendiri yang merupakan pelajar universiti tidak lari daripada mengejar nilai gred pembelajaran pada setiap semester dengan bermatlamatkan dua perkara iaitu ingin menjadikan PTPTN itu sebgaai biasiswa sepenuhnya dan mendapat nilai gred kelas pertama semester, maka perkara ini dikejar sehingga terlupa sebenarnya siapa yang berhak menentukan sama ada penulis layak menerima atau sebaliknya.



Kali ini teguran Ilahi yang dirasakan penulis ialah dengan menurunkan sedikit nilai gred semester di universiti ini. Nah, sebagai balasan terhadap setiap kelemahan dan kekhilafan penulis selama tempoh 5 ke 6 bulan berada di universiti. Hati mula merintih dan tidak kurang juga mengeluh dengan ujian yang diberikan. Hanya bermodalkan usaha yang tidak sebanyak mana dan doa yang hanya secebis cuma dan tawakkal yang kurang, penulis merasakan dirinya layak mendapat nilai gred yang lebih daripada itu. Namun itu semua hanyalah hasutan syaitan yang ingin membuat diri penulis alpa pada Rukun Iman yang ke-6 iaitu percaya pada qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah. 

Jika ini teguran yang dinukilkan Ilahi dalam hati ini sepuaya kembali untuk mengingati Allah dengan selayaknya, maka penulis menerima dengan hati yang terbuka dan penuh reda di atas setiap perkara yang berlaku di dunia ini. Dan jika ini adalah ujian dan cabaran buat diri penulis, InsyAllah dengan bantuan-Nya penulis cuba bangkit dengan membawa kejayaan yang amat cemerlang pada semester hadapan dengan izin dan rahmat serta berkat yang dilimpahkan Ilahi kepada penulis. Tidak lupa juga penulis mengucapkan ucapan tahniah kepada semua yang telah mendapat keputusan peperiksaan yang optimum dan ketahuilah bahawa keputusan itu juga sebenarnya adalah teguran Ilahi untuk menjadikan diri kita lebih bersyukur dengan pemberian dan kasih sayang-Nya kepada kita.



Sekian sahaja buat sesi ini.
Edisi Hujung Minggu,
Penyuluh Cahaya Pena.