[SALAM PERKENALAN PENA]


Friday 18 May 2012

BeRHeNti MeNGEJaR DiRiMu

Hari ini lengkaplah pusingan cerita seorang insan yang bergelar lelaki, putaran suka duka kehidupan dilihat dengan jelas dan pengalaman itu dikutip satu persatu sebagai hamparan kepada kehidupan yang beralaskan onak dan duri ini. Segala peristiwa yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya dan tiadalah pengharapan ini ku gantungkan hanya kepada Allah sebagai Tuhan Penguasa kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Di sini kaki ku melangkah, dan di sini jugalah aku pernah jatuh terngadah. Namun segalanya memberikan aku sebuah buku bernama pelajaran yang tidak terdapat dalam mana - mana pasaran. Diri ini sayu dan melangkah pergi bersama hilangnya pengalaman itu yang telah memberi bekas dalam hati ini.

Sungguh diri ini buta untuk mengenal perjalanan kehidupan dunia yang selalu menghampakan. Dalam mengecapi banyak habuan hidup yang selalu diharapkan setiap insan. Diri ini juga telah melalui banyak perjalanan suka duka dan tangis tawa nilai seorang insan. Bermula dengan episod perjalanan hamba mencari pencipta-Nya, sehinggalah kepada peristiwa perjalanan kisah seorang lelaki yang mencari tulang rusuk kirinya yang ada tetapi entah di mana. Dalam menelusuri langkah pencarian seorang lelaki kepada sesuatu yang sangat bernilai tetapi sukar ditemui itu. Insan ini dihadapkan dengan banyak onak cabaran dan liku kehidupan supaya langkah kakinya tidak tersasar meskipun niat asalnya adalah benar. Tiada yang lebih indah dari melihat sesuatu yang diingini berada dalam genggaman seperti kasihnya burung pada setiap dahan dan ranting pepohon. Selalu dihinggapi untuk menjadi teman sepermainan di kala duka dan lara, senang dan riang bersama tetapi takdir telah menentukan betapa burung nan indah itu bukan milik pepohon.



Begitulah kisah insan yang mengharap dambaan kasih seorang teman, yang disangkanya akan kekal selamanya, tetapi masa dan ketika memisahkan jalan cerita dua insan di dunia yang sementara ini. Buat yang namanya teman, berkongsi cerita di kala senang, berkongsi duka di kala lara. Ini adalah jalan yang terpaksa dirimu dan diriku lalui tanpa mengenal dan menyoal natijah daripada pertemuan dan perpisahan ini. Awal perpisahan menemukan insan yang bergelar lelaki tentang erti kekecewaan, kesedihan dan ketidaktentuan dalam melalui kehidupan yang mendatang. Namun sebagai pemilik tulang rusuk yang indah dan tenteram, hati ini kembali harmoni dalam cebisan baris doa yang dihamparkan buat penawar dan pengubat hati dikala kerinduan. Segalanya diadukan pada Ilahi tanpa segan silu kerana hanya Dia yang menjadi penentu usaha hamba-Nya di dunia ini. Akhirnya, dalam pengaduan seorang insan yang bergelar lelaki ini, dia diberi jawapan nan indah dan berseri mengenai pencariannya yang dirasakan gagal sama sekali.

Rupa - rupanya kerinduan itu bukan milik tulang rusuk yang belum bersedia untuk bersama keseluruhan teman tulang-belulangnya yang lain. Tulang rusuk itu rupanya masih rapuh dalam ketegasan yang dipamerkan terhadap alam yang buas ini. Tulang itu masih berpura - pura telah matang dalam melalui perjalanan kitaran kehidupan ini. Namun jelasnya kesemuanya itu hanya palsu dan lakonan semata - mata. Rindu itu milik Pencipta tulang rusuk itu, bukan milik tuan sementara tulang itu, tetapi milik Pencipta tulang dan Pencipta tuan empunya tulang. Maka dengan itu, langkah seorang lelaki itu semakin gagah dan berani tanpa kenal erti kecewa dan hampa. Segala rindu dicurahkan kepada Pencipta yang setia menunggu, bukan seperti tulang rusuk kiri yang rapuh dan palsu itu. Dari kerinduan berputik kasih dan sayang yang tanpanya hati menjadi gundah gulana. Dari itu langkah ini ku hentikan dengan gerak tari yang tiba - tiba menjadi kaku dan membisu. Lelaki itu telah BERHENTI MENGEJAR DIRIMU supaya dirimu tahu untuk menghargai dan memperkemas diri buat insan yang bergelar lelaki.

Kini lelaki itu masih di sini, bersama kicauan burung dan pepohon yang setia menanti. Walau keadaannya berbeza dan waktu kian berlalu. Namun rindu dan sayang itu dipautkan dan disandarkan pada Pemilik Hati yang tidak akan mati walaupun lelaki itu akan pergi meninggalkan dataran permainannya. Buat tulang rusuk yang telah sedia menanti, ketahuilah ada masa dan ketika diri ini tidak perlu berlari dan harusnya berhenti mengejar dirimu kerana ketetapan itu pasti, jodoh itu adalah janji Ilahi, takdir itu adalah suci. Semoga berjumpa lagi, walau apa pun akhir penceritaannya, ketahuilah bahawa dirimu telah menjadi sebahagian lembaran dalam catatan kehidupan perjalanan hamba dan insan yang bergelar lelaki.



Penyuluh Cahaya Pena,
Berhenti Mengejar Dirimu.

No comments: