[SALAM PERKENALAN PENA]


Wednesday 1 May 2013

LaNGkAH YaNg SeMaKiN PeRLaHaN

Salam bahagia dan rahmat daripada Ilahi sebagai penguasa dan pemilik seluruh alam ini. Barangkali sudah lama tidak meninggalkan bekas dan jejak pena dalam lingkungan maya sebagai tatapan buat pembaca yang mendambakan ilmu dan perkongsian pengalaman. Semoga coretan ini menjadi saksi dan bukti tertegaknya iman dan paksa taqwa dalam diri pada hari ini dan hari mendatang, sehingga akhirnya kita semua dikumpulkan di suatu tempat yang terakhir untuk kita singgahi kelak. Walaupun bekas pena ini tidak dapat dinukilkan seindah sebuah Al-Quran yang diturunkan, bahkan memang tidak mampu untuk menulis seindah kalam Ilahi, tetapi dalam masa yang sama dapat diabadikan menjadi penguat diri dalam menembuh sebuah alam yang semakin takut untuk manusia - manusia yang baik untuk terus tinggal di dalamnya.



Ayunan pena yang semakin berkurang dan malap dalam meniti saban malam dan dinihari menunjukkan betapa langkah kita kadang kala kuat dan gagah pada sesuatu ketika tetapi tidak dapat kita nafikan ada kalanya langkah yang selalu kita ayunkan itu menjadi sebuah LANGKAH YANG SEMAKIN PERLAHAN. Umur kita sering berjalan tanpa henti dan setiap perjalanan itu membawa kita melangkah ke suatu tahap yang dinamakan ujian dalam kehidupan. Sudah tentu ujian itu tidak datang dalam satu warna sahaja tetapi lengkap dengan pelbagai ton dan warnanya juga, sama ada pekat mahu pun cair dan cerah. Semuanya itu jalan dan aturan alam yang mesti kita tempuhi dan sudah tentu yang mengaturnya itu lagi hebat daripada yang diaturnya.

Semakin bertambah usia kita, semakin lemahlah segala fungsi badan kita. Oleh itu yang tinggal hanyalah fungsi jiwa dan nurani kita. Jika kedua - duanya lemah maka hilanglah upaya kita sebagai khalifah di dunia ini. Pesan seorang guru, manusia itu tujuan penciptaannya untuk beribadah dan menjadi khalifah. Jika hilang salah satu maka dia sebenarnya belum lagi memenuhi tanggungjawabnya sebagai manusia. Sebahagian orang menumpukan ibadat khusus dek kerana takutnya akan dosa dan pahala yang dipikul olehnya. Ramai orang pula sibuk memikul dan mengusahakan tanggungjawab khalifahnya tanpa mempedulikan nilai ibadah dan hubungannya dengan Tuhan yang menciptakan dia. Maka rugilah kedua - dua mereka sedangkan tanggungjawab sebagai khalifah itu juga ibadah, dan ibadah khusus itu juga ibadah untuk mendekatkan diri kita pada yang telah sedia dekat tetapi sering kali kita yang menjauhkan diri daripada-Nya.



Andai kata suatu hari nanti kita terpaksa memilih jalan yang lurus dan berliku. Sudah tentu ramai yang akan memilih jalan lurus yang mudah laluannya berbanding jalan berliku yang sukar sepanjang perjalanannya. Walaupun lurus mahu pun berliku, jika niatnya tetap satu dan sama tujuannya, tidak mengapa jika kita berbeza dengan mereka, kerana diri kitalah yang MENAMBAHKAN SEBAHAGIAN WARNA yang telah mereka ada. Dan sesungguhnya itulah yang akan membuatkan orang mengenali kita meskipun kita tidak memintanya. 

No comments: